ADAM tiada masalah kendali jentera Honda NSF250RW.
ADAM tiada masalah kendali jentera Honda NSF250RW.

Kuala Lumpur: Pelumba rookie Moto3 negara Adam Norrodin tidak perlu menunggu lama untuk memikat hati pengurusan SIC Racing Team apabila mempamer prestasi meyakinkan ketika pertama kali menunggang jentera Honda NSF250RW pada sesi ujian tidak rasmi di Valencia, minggu lalu.

Menurut pengurus pasukan, Johan Stigefelt, Adam menunjukkan keinginan cukup tinggi untuk mempelajari segala perkara baru dan dilihat bekerja keras memperbaiki tunggangannya.

“Dia seorang pelumba yang masih muda dan sangat dahagakan kejayaan.

“Saya sendiri dapat saksikan di Valencia yang Adam seorang pelumba berbakat, bekerja keras dan mendengar segala nasihat diberikan rakan sepasukannya terutama Jakub (Kornfeil).

“Perkara paling utama adalah Adam yakin terhadap dirinya sendiri yang dia boleh memberikan aksi terbaik meskipun baru berusia 17 tahun.

“Adam juga dibekalkan dengan jentera Honda iaitu mesin terpantas dalam kelas Moto3 setakat ini bersama-sama tenaga kerja berpengalaman. Untuk itu, kami menantikan aksi cemerlangnya pada perlumbaan sebenar nanti,” katanya.

Sementara itu, Adam yang menggantikan Zulfahmi Khairuddin mengakui banyak perkara yang perlu dipelajari pada musim pertamanya di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

“Segala-galanya masih baru termasuk litar yang begitu asing bagi saya.

“Sasaran utama saya adalah mempelajari sebanyak mungkin perkara baru serta membina keyakinan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 7:18 AM