Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) masih menagih khidmat Mohd Sharbinee Allawee Ramli (gambar) sekali gus menafikan penjaga gol berpengalaman itu digugurkan.

Khabar angin mengenai pengguguran pemain itu mula tersebar selepas dia tidak beraksi dua minggu dan Timbalan Presiden 1 PBSNT Datuk Wan Nawawi Wan Ismail berkata, bekas penjaga gol nombor satu negara itu masih berehat dan perlu menjalani latihan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

“Kami masih menunggu laporan terkini doktor perubatan berhubung statusnya yang mengalami masalah pernafasan dan cepat penat.

“Dalam masa sama, kita masih mahukan khidmatnya dan berharap dia dapat menyertai Terengganu selepas pulih nanti.

“Kami berharap semua peminat mendoakan dia cepat sembuh,” katanya.

Pada 7 Februari lalu, penjaga gol berusia 31 tahun itu dimasukkan ke hospital swasta di negeri ini selepas mengadu badannya lemah selain batuk sebelum dirujuk ke HUSM untuk rawatan lanjut.

Berikutan itu, bekas pemain Selangor berkenaan tidak membarisi skuad Terengganu sejak tiga perlawanan lalu dan posisinya kini diambil alih penjaga gol kedua Amierul Hakimi Awang ketika bertemu Kuantan FA, Negeri Sembilan dan FELCRA FC dalam saingan Liga Perdana serta Piala FA.

Mengulas lanjut, Wan Nawawi berkata, PBSNT akan memantau perkembangan Sharbinee dari semasa ke semasa sebelum membuat keputusan.

“Kami akan mencari pendekatan terbaik isu ini dan tidak akan membuat keputusan tanpa merujuk kepada doktor. Jika sekiranya pemain itu tidak dapat menyumbang khidmatnya kepada pasukan, baru kami cari pengganti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 8:21 AM