PEMAIN dan barisan jurulatih pasukan negara meraikan kemenangan 3-1 ke atas Jepun di suku akhir Piala Thomas, malam tadi. FOTO BERNAMA
PEMAIN dan barisan jurulatih pasukan negara meraikan kemenangan 3-1 ke atas Jepun di suku akhir Piala Thomas, malam tadi. FOTO BERNAMA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Biarpun berjaya mara ke separuh akhir, pemain skuad Piala Thomas negara ditekankan usah terlalu dibuai dengan kegembiraan menjelang aksi penting bertemu pasukan tuan rumah, China, petang esok.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, pasukan negara masih memiliki tugas belum selesai bagi mengetepikan juara 10 kali kejohanan berprestij itu.

"Perseorangan mereka (China) sangat kuat, manakala persaingan untuk beregu adalah seimbang.

"Kita perlu gunakan kelebihan turun tanpa tekanan kerana kita datang hanya untuk tampilkan aksi terbaik," katanya.

Justeru, legenda beregu lelaki Indonesia itu menggesa anak buahnya supaya tidak terlalu meraikan kejayaan menjadi empat pasukan terbaik kerana misi berdepan China yang juga pasukan nombor satu dunia bukanlah satu tugas mudah.

"Semua pemain perlu kekal merendah diri, jaga pemakanan serta mendapatkan rehat secukupnya untuk kita melakukan persiapan menjelang aksi separuh akhir nanti," kata Rexy.

Berdasarkan rekod pertemuan, China memiliki kelebihan ke atas Malaysia apabila mencatat kemenangan dalam semua empat perlawanan terdahulu dengan kali terakhir Malaysia tewas 0-3 pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) Februari lalu.

Selain itu, Rexy menjelaskan, pencapaian kali ini lebih baik jika dibandingkan pada edisi di Bangkok dua tahun lalu apabila Malaysia tersingkir di suku akhir selepas tewas 2-3 kepada India.

"Layak ke separuh akhir selepas kali terakhir melakukannya pada 2016 adalah satu perkara positif selepas tersingkir di suku akhir pada 2022.

"Bagaimanapun, saya mahu pemain ambil pendekatan langkah demi langkah," katanya.

Sebagai rekod, Malaysia melangkah ke separuh akhir selepas mengalahkan juara 2014, Jepun 3-1 di suku akhir semalam, manakala China menang 3-1 ke atas juara bertahan, India.

Kali terakhir Malaysia mendakap trofi teragung itu adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur selepas menewaskan musuh tradisi, Indonesia 3-2 di perlawanan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 4:07 PM