IHSAN APMM
IHSAN APMM
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan meneruskan usaha pencarian mangsa bot karam di Pulau Mengalum, 28 Januari lalu.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa itu memasuki hari ke-15 di perairan Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam.

"Sehigga ini, tiada sebarang petunjuk baru ditemukan namun usaha SAR masih diteruskan sehinggalah mendapat arahan selanjutnya daripada pihak atasan.

"Sektor pencarian adalah seluas 300 batu nautika persegi di perairan Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam dengan membabitkan sembilan aset," katanya, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 28 Januari lalu, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 31 orang, termasuk 28 pelancong warga China dan tiga kru bot karam di perairan Pulau Mengalum.

Sementara itu, mengulas mengenai operasi SAR bot karam di pantai Batu Payung, Tawau, beliau berkata, APMM Sabah masih melakukan pencarian membabitkan 77 batu nautika persegi di perairan berkenaan.

"Dua lagi mangsa yang belum ditemui sejak semalam disambung semula pada 6.30 pagi, 11 Februari, membabitkan 11 aset.

"Kita berharap cuaca di dua sektor pencarian (termasuk di Indonesia) baik dan memudahkan operasi SAR," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 5:34 PM