Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa bot karam di Pulau Mengalum, dekat sini, kini memasuki hari ke-41, hari ini.

Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, sehingga kini, belum ada sebarang petunjuk baru dan SAR masih diteruskan membabitkan lima aset daripada pasukan keselamatan.

“Operasi SAR hari ini sudah masuk hari ke-41 dan sektor pencarian merangkumi perairan barat laut Pulau Mengalum hingga ke perairan daerah ini.

“Operasi ini akan diteruskan sehingga mendapat arahan seterusnya daripada pihak atasan,” katanya dalam sidang media di pejabat APMM Daerah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Kata Mohd Zubil, walaupun operasi SAR di perairan Brunei sudah diberhentikan dua hari lalu tetapi APMM masih meneruskan untuk mengesan semua mangsa termasuk bangkai bot dan barangan milik mangsa.

“Logiknya, untuk kita menemui semua mangsa iaitu empat warga China dan seorang rakyat tempatan yang juga kru bot adalah tipis.

“Begitu juga untuk menemui mayat, cebisan daging mahupun tulang ia juga sukar,” katanya.

Dalam kejadian 28 Januari lalu, bot katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga kru karam menyebabkan empat lemas dan lima masih hilang manakala 22 selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 11:54 AM