CIPTA taman mini yang meredupkan suasana.
CIPTA taman mini yang meredupkan suasana.
TANAMAN segar dalam variasi menarik sering membantu taman kelihatan sempurna.
TANAMAN segar dalam variasi menarik sering membantu taman kelihatan sempurna.
SENTUHAN dan kreativiti pemilik dalam mengilhamkan taman indah juga penting.
SENTUHAN dan kreativiti pemilik dalam mengilhamkan taman indah juga penting.
Oleh Faizal Zain

Memiliki kediaman berlaman menguji sejauh mana tahap sentuhan dekorasi pemiliknya. Ada menjadikan ruang itu tempat letak kereta, ruang bermain anak atau mencipta taman mini meredupkan suasana.

Hari ini kita sama-sama berkongsi ilmu bahawa pokok hiasan mempunyai pelbagai jenis rupa dan sifat yang berlainan. Mengetahui jenis pokok yang sesuai menghiasi halaman memudahkan anda mencipta taman mini sendiri.

Setiap pokok berlainan boleh dikategorikan kepada beberapa jenis iaitu jenis palma yang berasal dari keluarga Palmae. Biasanya ia mempunyai satu batang yang diakhiri sejambak daun. Antara pokok jenis ini ialah pinang raja atau Cyrtostachys lakka dan pokok kelapa gading atau Cocos Nucifera.

Pokok teduhan pula ditanam untuk dijadikan tempat teduhan dan biasanya di bucu halaman.

Ia juga boleh dibiakan melalui biji benih, keratan batang atau cantuman, antaranya pokok tembusu atau Fragrea Fragrans dan pokok tulang daing atau Milletia Atropurpurea.

Di samping itu, pokok renek sering menjadi pilihan menghiasi halaman rumah. Terdapat pelbagai jenis dan keluarga dan selalunya pokok renek lebih kelihatan kembang dan sarat dengan cambahan batang yang banyak.

Pokok ini mempunyai banyak batang, tumbuh dari pangkal hingga ke atas, ketinggian kurang daripada lima meter. Dibahagikan kepada tiga jenis iaitu pokok renek berdaun, pokok renek berbunga dan pokok pagaran yang sering dijadikan sebagai pagar kawasan halaman rumah.

Seterusnya pokok jenis memanjat dan menjalar juga amat popular dalam seni sentuhan dekorasi halaman. Dinding konkrit, pagar kayu atau besi rumah yang dijalari pokok daripada jenis menjalar ini menghasilkan impak kesegaran dan kerimbunan halaman rumah.

Tanaman hiasan tumbuhan memanjat pula terdiri daripada dua jenis. Ia mempunyai tenderil dan pencaku tendril digunakan untuk memanjat atau membelit sokongan. Sebahagiannya mempunyai akar yang mengeluarkan pelekat.

Antara tanaman itu ialah pokok nyonya makan sirih atau Clerodendron Thomsonae dan pokok bunga kembang songsang atau kembang pagi atau nama saintifiknya Gloriosa Superba.

Tanaman hiasan tumbuhan menjalar pula tumbuh melata seperti hemigraphis atau Hemigraphis Colorata dan bunga Ros Jepun atau Portulaca grandiflora.

Kini, anda sudah tahu beberapa fungsi dan jenis pokok yang cukup sinonim dalam hiasan halaman rumah. Saya sering menggunakan pokok jenis ini setiap kali membuat sentuhan landskap laman rumah pelanggan.

Ini kerana tumbuhan jenis ini selain dari mempunyai daya hidup yang tinggi, ia amat mudah dijaga dan mudah tumbuh. Selamat mencuba!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:06 AM