FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Lundu: Walaupun berkerusi roda, Panchi Mail, 78, tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi di SK Stunggang Melayu, di sini, pagi ini.

Dia yang menetap di Kampung Stunggang Lama tiba di pusat pengundian tepat 7.50 pagi dan selesai mengundi pada 8.10 pagi.

Panchi berkata, dia tidak dapat berjalan kerana kaki kanannya mengalami masalah otot sejak beberapa tahun lalu.

"Saya tetap bersemangat untuk keluar mengundi walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda kerana ia adalah tanggungjawab sebagai rakyat.

"Setiap kali pilihan raya umum atau pilihan raya negeri, saya tidak akan melepaskan peluang menggunakan hak sebagai pengundi untuk memilih pemimpin," katanya ketika ditemui.

Hari ini 9,771 pengundi akan menunaikan tanggungjawab memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu.

Semua 16 pusat pengundian dibuka tepat 8 pagi dan akan ditutup secara berperingkat mulai 12 tengah hari hingga 5 petang ini.

Barisan Nasional (BN) diwakili Puan Sri Jamilah Anu manakala Johnny Aput mewakili Parti Reformasi Negeri (STAR) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru diwakili Rapelson Richard Hamit.

PRK DUN Tanjong Datu diadakan susulan kematian penyandangnya yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem akibat komplikasi jantung, 11 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 9:52 AM