Petikan video laman web China, CCTV, menunjukkan wanita pertama ditahan yang memegang pasport Vietnam, dibawa masuk ke dlaam kereta oleh polis di Kuala Lumpur. - Foto
Petikan video laman web China, CCTV, menunjukkan wanita pertama ditahan yang memegang pasport Vietnam, dibawa masuk ke dlaam kereta oleh polis di Kuala Lumpur. - Foto
Agensi

Kuala Lumpur: Pihak berkuasa Malaysia tidak akan menyerahkan mayat Kim Jong-nam sehingga memperoleh sampel DNA ahli keluarganya untuk pengesahan identiti mayat berkenaan.

AFP melaporkan, Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, berkata sehingga kini belum ada ahli keluarga atau saudara-mara menuntut mayat berkenaan.

“Kami memerlukan sampel DNA ahli keluarga untuk dipadankan dengan si mati.

“Korea Utara sudah menghantar permohonan menuntut mayat berkenaan namun sebelum mayat itu diserahkan, kita perlu mengesahkan identiti mayat berkenaan,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan lelaki yang mati dibunuh di Klia 2 ialah Kim Jong-Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, berdasarkan pasport yang dibawa mangsa.

Menurut media Korea Selatan, Jong-nam, 45, berada di Malaysia menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, namanya yang lain dikenal pasti pernah digunakannya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai pembabitan ejen khas luar negara dalam kes kematian Jong-nam.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan sedang berjalan dan kes itu dianggap rumit.

Setakat ini polis menahan dua wanita yang memegang pasport Vietnam dan Indonesia serta seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes itu.

Mohamad Fuzi bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya latar belakang ketiga-tiga mereka.

Jong-nam diserang dua wanita ketika berada di Klia 2 untuk menaiki penerbangan ke Macau yang menekup mukanya dengan kain mengandungi cecair beracun.

Jong-nam meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 11:50 AM