Daun ketum yang dirampas polis dalam serbuan di Bukit Tembaga, awal Februari lalu. FOTO arkib NSTP
Daun ketum yang dirampas polis dalam serbuan di Bukit Tembaga, awal Februari lalu. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Pokok Sena: Pengambilan dadah dan air ketum dalam kalangan penduduk termasuk pelajar sekolah di pinggir bandar Alor Setar semakin serius berikutan bahan itu mudah diperolehi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, penanaman ketum secara berleluasa di pinggir bandar mendorong lebih ramai remaja meminum air terlarang itu seterusnya mencuba dadah.

Katanya, mengikut rekod bulan lalu saja, seramai 46 orang ditahan atas pelbagai kesalahan dadah termasuk pengedaran dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Hasil kajian polis juga mendapati antara pengambilan dadah yang popular kalangan mereka adalah dadah tradisional seperti heroin, morfin dan ganja manakala dadah sintetik pula ialah syabu, eramin dan ketamin.

"Paling bahaya adalah dadah moden...dadah ini sangat mahal, sekiranya harga pasarannya meningkat, ketagihan ini akan membawa kepada jenayah lain seperti mencuri atau meragut kerana mereka mahu membeli bekalan dadah," katanya selepas merasmikan Program Remaja Berwawasan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payung di sini hari ini.

Mohd Rozi berkata, kebanyakan pelajar terpengaruh dengan rakan sebaya, persekitaran termasuk disebabkan ramai yang mengambil kesempatan untuk menanam pokok ketum kerana harganya yang tinggi.

Bagi membanteras aktiviti itu, Mohd Rozi berkata, polis mengambil pendekatan bekerjasama dengan sekolah misalnya melalui program Remaja Wawasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 1:12 PM