SEORANG penjawat awam antara 16 yang ditahan selepas dipercayai mengadakan 'private party' dalam serbuan di sebuah bilik hotel di  kawasan bandar di daerah ini, semalam. FOTO ihsan Polis Johor
SEORANG penjawat awam antara 16 yang ditahan selepas dipercayai mengadakan 'private party' dalam serbuan di sebuah bilik hotel di kawasan bandar di daerah ini, semalam. FOTO ihsan Polis Johor
Nurul Amanina Suhaini


Batu Pahat: Penjawat awam antara 16 yang ditahan selepas dipercayai mengadakan 'private party' di bilik hotel di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata, kesemua warga tempatan yang ditahan itu berusia 17 hingga 34 tahun.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, membuat serbuan dan pemeriksaan di lokasi berkenaan, pada 3.15 pagi semalam.

"Ketika serbuan itu, polis menahan 10 lelaki dan enam wanita termasuk seorang penjawat awam serta pelajar kolej swasta.

"Polis turut merampas beberapa pil dipercayai dadah jenis ecstasy dan Erimin 5, sepaket plastik lutsinar di dalamnya berisi serbuk putih yang dipercayai dadah jenis ketamin.

"Ujian saringan awal air kencing yang dilakukan mendapati 10 daripada tangkapan positif dadah, selain siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika didapati bersalah, boleh dikenakan penjara maksima lima tahun dan denda RM 20,000.

"Seramai 15 tangkapan dikompaun RM 1,000 mengikut Peraturan 3 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020.

"Orang awam khususnya remaja dinasihatkan supaya menjauhi pengambilan dadah mahupun perkara tidak bermoral.

"Operasi berterusan akan dijalankan dan orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Batu Pahat di talian 07-436 3300," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 1:53 PM