SUSPEK yang ditahan. FOTO Ihsan Polis
SUSPEK yang ditahan. FOTO Ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli


EMPAT remaja disyaki terbabit dalam kegiatan lumba haram, ditahan di sebuah kedai makan di Jitra, hari ini.

Dua daripada remaja terbabit yang berusia 16 dan 19 tahun itu yang bertindak sebagai penganjur lumba haram ditahan ketika sedang leka mengumpul wang pertaruhan dari kumpulan pelumba haram.

Turut ditahan, dua lagi rakannya yang berusia 17 dan 18 yang juga peserta aktiviti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, sepasukan pegawai dan anggotanya dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu yang diketuai Inspektor Wan Mazuan Wan Mahmud menerima maklumat terdapat perundingan satu penganjuran lumba haram di satu kawasan di Kubang Pasu, malam tadi.

Beliau berkata, pertaruhan perlumbaan haram itu dengan nilai sebanyak RM230.

“Melalui operasi Ops Samseng Jalanan yang dilakukan, anggota kami melakukan pemerhatian selama 15 minit di mana terdapat empat motosikal sedang berlumba dari lampu isyarat Asun menghala ke Dewan Wawasan.

“Mereka kemudian berhenti di kedai makan tom yam berkenaan menyebabkan anggota kami menyelinap masuk dalam kalangan ahli kumpulan pelumba itu sebelum ternampak dua lelaki berkenaan melakukan kutipan wang di kalangan pelumba berkenaan,” katanya, hari ini.

Mohd Ismail berkata, berikutan itu, dua penganjur itu ditahan bersama dua remaja yang berlumba haram itu untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, ini adalah kes pertama tangkapan membabitkan penganjur lumba haram di Kubang Pasur.

“Dua penganjur itu ditahan mengikut Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987, manakala dua remaja yang disyaki pelumba haram itu ditahan mengikut Seksyen 42 APJ 1987 untuk siasatan lanjut.

“Turut dirampas wang tunai RM230 dari pelajar disyaki penganjur itu yang berasal dari kawasan Jitra manakala rakan penganjurnya itu pula berasal dari Alor Setar dan bekerja sebagai pembantu kedai makan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Ismail berkata, enam buah motosikal disita dalam operasi itu dan sebanyak 32 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 11:24 AM