Berlin: Pep Guardiola memberi amaran Bayern Munich tidak boleh ghairah memburu gol menentang Barcelona awal pagi Rabu ini dan berisiko mengalami satu lagi kekalahan besar selepas pasukannya kalah kali keempat berturut-turut, kelmarin.

Bayern yang beraksi 10 pemain terjejas sekali lagi selepas tewas 0-1 kepada Augsburg dalam Bundesliga menjelang misi mustahil pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Barcelona.

Penyerang Augsburg dari Paraguay, Raul Bobadilla mengikut jejak langkah bintang Barcelona, Lionel Messi dengan mencetus lebih banyak masalah buat juara Jerman itu kelmarin.

Bayern berdepan tugas getir selepas dibelasah 0-3 di Barcelona pertengahan minggu lalu apabila Messi menyumbat dua gol, selepas kalah kepada Borussia Dortmund pada separuh akhir Piala Jerman dan tewas di tangan Bayer Leverkusen pada aksi liga.

Namun Guardiola berkata, pasukannya berdepan risiko ulangan kecundang 0-4 kepada Real Madrid pada separuh akhir musim lalu, selepas tewas di laman lawan 0-1, jika mereka memburu gol dan meninggalkan ruang buat Messi, Neymar dan Luis Suarez untuk menyerang.

“Jika kami hanya fokus untuk menjaringkan gol kami akan kalah seperti ketika menentang Real Madrid tahun lalu,” jelas Guardiola. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 7:39 AM