PEMAIN Real meraikan kejayaan meraih gelaran liga kali ke-35. FOTO AFP
PEMAIN Real meraikan kejayaan meraih gelaran liga kali ke-35. FOTO AFP
AFP

Madrid: Real Madrid memperoleh gelaran La Liga ke-35 dengan kemenangan 4-0 di tempat sendiri ke atas Espanyol ketika Carlo Ancelotti menjadi jurulatih pertama memenangi kesemua lima liga utama Eropah.

Hanya memerlukan satu mata daripada lima perlawanan terakhir mereka, Real menjaringkan dua gol menerusi Rodrygo pada separuh masa pertama di Santiago Bernabeu sebelum gol daripada Marco Asensio dan Karim Benzema melengkapkan kemenangan.

Real menjulang trofi di hadapan hampir 80,000 penonton di dalam stadium, dan perayaan tradisi diteruskan di air pancut Cibeles di ibu negara Sepanyol.

"Ini kali pertama saya memenangi kejuaraan di Bernabeu, suasananya benar-benar sesuatu yang istimewa," kata Ancelotti kepada Movistar Plus.

"Jika saya menangis (pada wisel penamat), itu kerana saya gembira."

Ancelotti kembali ke Real pada pertengahan tahun lalu untuk mengambil alih tugas Zinedine Zidane selepas meninggalkan Everton.

Pengendali kelahiran Itali itu juga pernah memenangi Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea, Serie A dengan AC Milan, Ligue 1 dengan Paris Saint-Germain dan Bundesliga bersama Bayern Munich.

Memandangkan mereka berada di kedudukan teratas sejak November, tidak hairanlah Real memenangi liga yang telah mereka kuasai selama berbulan-bulan, tetapi penurunan prestasi daripada Barcelona dan Sevilla menawarkan peluang untuk kejuaraan awal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 9:38 AM