Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Letupan enjin bot Kerambit 3 yang digunakan anggota 69 Komando (VAT 69) ketika kursus pengendalian bot tidak membabitkan bahan letupan lain.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, siasatan awal mendapati letupan berlaku ketika anggota menghidupkan enjin bot berkenaan.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada kerosakan enjin dan tidak membabitkan bahan letupan lain.

“Tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu, bagaimanapun lapan anggota polis mengalami kecederaan. Semua mangsa menerima rawatan di Hospital Sri Manjung.

"Semua anggota yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, semua anggota polis berkenaan berpangkalan di Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh yang sedang membuat latihan rutin.

Katanya, siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.

Difahamkan sembilan mangsa terbabit dalam kejadian itu dengan seorang lagi dipercayai mekanik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 4:22 PM