Muhammad Sabtu (kanan) melawat mangsa insiden bot meletup yang dirawat di Hospital Seri Manjung.
Muhammad Sabtu (kanan) melawat mangsa insiden bot meletup yang dirawat di Hospital Seri Manjung.
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: “Lutut saya lemah dan hampir pengsan apabila rakan memaklumkan kejadian menimpa suami sebelum menyuruh saya bersabar.

“Saya cuba menghubungi suami namun gagal. Sukar nak gambarkan perasaan ketika itu malah hanya mampu berdoa supaya suami dalam keadaan baik,” kata Idawati Awang, 35.

Idawati isteri seorang mangsa insiden bot meletup di Jeti Pangkalan Polis Marin, Kampung Acheh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, kelmarin, lapan anggota 69 Komando (VAT 69) dan seorang mekanik yang berpangkalan di Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di Ipoh cedera selepas bot mereka meletup akibat masalah enjin ketika menjalani kursus.

Menurutnya, dia yang bertugas sebagai tenaga pengajar di sebuah kolej di Ipoh sedang mengajar ketika mendapat maklumat kejadian yang menimpa suaminya.

Katanya, dia ke hospital jam 10.15 pagi, semalam (kelmarin) dan bersyukur suaminya selamat biarpun parah di kaki kiri.

“Saya terima kejadian ini dengan reda kerana sejak awal perkahwinan saya sudah bersedia kerana suami setiasa berdepan pelbagai situasi termasuk terbabit operasi di Lahad Datu,” katanya yang memberitahu suaminya berkhidmat dalam pasukan itu sejak 2000.

Katanya, dia dimaklumkan suaminya berjalan di atas bot itu untuk mengubah tempat duduk dari belakang ke hadapan ketika kejadian.

“Ketika itu dia duduk di belakang berhampiran enjin dan tiba-tiba mahu menukar tempat duduk di barisan hadapan. Dalam masa lima saat selepas dia berjalan enjin itu meletup tiba-tiba,” katanya.

Insiden itu menyebabkan letupan kuat sehingga anggota di dalam bot itu tercampak ke laut dan ada berada di dalam bot bersebelahan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman meluangkan masa 20 minit melawat mangsa insiden bot berkenaan yang dirawat di Hospital Seri Manjung, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 5:03 AM