INGIN beritahu ibu bapa tetapi bimbang dibuang keluarga.
INGIN beritahu ibu bapa tetapi bimbang dibuang keluarga.

Rahsia ini sudah lama saya simpan dan kini semakin membebankan. Saya berkahwin dengan suami orang di Selatan Thailand ketika masih belajar di sebuah institusi.

Perkahwinan ini masuk tahun pertama, namun ibu bapa saya masih belum mengetahuinya. Kehidupan kami sangat bahagia meskipun saya isteri kedua. Suami sangat bertanggungjawab dan menjaga saya sebaik mungkin.

Kami berkahwin kerana saling mencintai antara satu sama lain. Saya tidak berani menyatakan hal ini kepada ibu bapa. Namun kini, saya berasa bersalah.

Sampai bilakah saya harus berahsia? Saya bimbang jika berterus terang, saya akan dibuang keluarga tetapi saya ingin memberitahu mereka hal yang sebenarnya.

DALAM DILEMA

Kelantan

Secara tradisi, perkahwinan itu satu perkara besar dalam sebuah kehidupan dan ia penyatuan antara dua individu bukan mahram. Ia secara langsung membabitkan penyatuan dua keluarga besar iaitu sebelah isteri dan suami. Oleh yang demikian, perkahwinan ini perlu diuar-uarkan dalam kalangan ahli keluarga kerana membabitkan banyak hal dalam masyarakat.

Perkahwinan masih penting sebagai ikatan hubungan yang dipersetujui masyarakat dan yang senang untuk difahami adalah sebagai satu hubungan lelaki dan perempuan bertujuan melahirkan anak selain mensosialisasikan mereka dengan jayanya. Kebanyakan masyarakat membenarkan pengamalan poligami. Perkahwinan yang tidak menghormati masyarakat seperti kahwin lari dan tangkap basah sangat dikeji Islam, melainkan di dalam situasi tertentu di mana pemerintah boleh bertindak sebagai wali bagi menggantikan wali daripada keluarga si isteri.

Dalam kes tertentu khususnya kes ingin berpoligami, terdapat juga pasangan yang kahwin lari dengan membawa lari bersama wali dan saksi untuk mengetepikan prosedur undang-undang.

Antara punca utamanya mereka mahu berpoligami, tetapi tidak dapat melepasi syarat dikenakan undang-undang dan (atau) tidak mahu perkahwinan itu diketahui isteri pertama. Selain itu, pilihan mereka tidak direstui orang tua.

Namun, perkahwinan ini sudah pasti memberikan kesan terhadap keluarga dan diri sendiri selain kesan dari segi hukum serta undang-undang.

Kesan kahwin lari terhadap keluarga sangat besar. Antaranya boleh menyebabkan perpecahan keluarga dan memutuskan silaturahim. Selain itu, anak terpinggir hak sebagai anggota masyarakat.

Anak yang lahir daripada perkahwinan tidak didaftarkan juga menerima tempias kesan tidak baik. Segala perkara rutin yang memerlukan dokumen sah tentunya tidak dapat dibuat disebabkan ketiadaan dokumen diperlukan umpamanya perkara membabitkan kesihatan, persekolahan dan tabungan di bank.

Dari segi hukum dan undang-undang pula, perkahwinan perlu didaftarkan di Mahkamah Syariah dan pasangan didenda kerana berkahwin tidak mengikut prosedur. Berdasarkan kesan ini, sudah pasti keperluan untuk memberitahu hal sebenar adalah penting. Terdapat beberapa hal yang boleh dilakukan dalam usaha memberitahu ibu bapa. Diharapkan penjelasan ini membolehkan kehidupan anda lebih berkat dan dirahmati. Anda juga bebas daripada perasaan bersalah dan ragu-ragu.

Berikut langkah yang boleh dilakukan untuk memberitahu keluarga:

1. Mencari masa yang sesuai untuk anda berjumpa dengan keluarga secara bersemuka dan harmoni. Pastikan masa yang dipilih itu benar-benar sesuai dan anda serta suami bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

2. Bersedia untuk berterus terang dan mengenal pasti cara yang sesuai. Anda seharusnya mendapat kerjasama daripada suami dalam usaha memberitahu keluarga mengenai hal ini.

3. Minta bantuan ahli keluarga yang lain yang diyakini memahami anda dan mampu dibawa berbincang. Dapatkan pandangan mereka yang dipercayai. Anda juga perlu memilih orang tengah ini supaya proses memberitahu keluarga dapat berlaku dalam suasana baik.

4. Memohon maaf dan mengakui kesilapan diri ketika memberitahu keluarga. Anda sudah semestinya akan dimarahi serta tindakan itu mungkin mengecewakan hati mereka. Itu adalah kesan dan risiko atas perbuatan serta pilihan anda selama ini. Sebagai usaha untuk menerangkan hal sebenar, akuilah kesilapan yang pernah dilakukan. Minta maaf daripada ibu bapa.

5. Temui keluarga secara rahsia atau privasi tanpa membabitkan adik-beradik atau ahli keluarga lain. Sebaiknya hanya membabitkan anda, suami dan ibu bapa saja. Temui juga keluarga kedua-dua belah pihak. Dalam hal ini, suami juga perlu bersedia dan sama-sama memikirkan cara terbaik dalam usaha berterus terang.

6. Mohon petunjuk dan hidayah daripada Allah bagi menghadapi hal ini. Semoga anda mendapat keberkatan dan bantuan daripada Yang Maha Esa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 6:21 AM