PENDEDAHAN  berkaitan status Myra yang juga anak tunggal Halim membawa banyak iktibar.
PENDEDAHAN berkaitan status Myra yang juga anak tunggal Halim membawa banyak iktibar.
Norhayati Nordin

Mahu berkongsi kisah peribadi atau tidak, memang ia atas pilihan sendiri.

Namun, sebagai selebriti ada baiknya juga dikongsikan 'berpada-pada' buat pengetahuan masyarakat agar tidak menimbulkan syak wasangka dan fitnah.

Mengapa dikatakan begitu? Ini kerana pendedahan dibuat berkaitan status pelakon dan pengacara baharu, Myra Natasya yang juga anak tunggal pengacara dan bekas penyampai radio, Halim Othman pada April lalu mengejutkan dan pada masa sama membawa banyak iktibar.

Siapa sangka, Halim yang selama pembabitannya dalam karier seni dianggap 'bujang terlajak' oleh peminatnya kerana tidak bertemu jodoh. Namun realitinya Halim berjaya menyimpul kemas 'rahsia' kewujudan anaknya termasuk rahsia perkahwinan selama 27 tahun sebelum terbongkar.

Tidak dinafikan memang hak setiap orang untuk menyimpan atau menyembunyi hal peribadi masing-masing terutama selebriti.

Namun, tidak ada salahnya juga untuk berkongsi sedikit agar apabila rahsia itu terbongkar, ia tidak digali sampai ke akar umbi.

Apatah lagi, pada zaman teknologi masa kini yang mana pengaruh media sosial sangat besar. Dari pendedahan sedikit, namun tindakan netizen yang rajin menyelidik membuatkan status Myra yang 'berbinti Abdullah' akhirnya harus diperjelaskan.

Difahamkan, Halim dan bekas isteri mengambil keputusan berkahwin di negara jiran, Thailand dan seterusnya tidak mendaftarkan perkahwinan mereka dalam negara. Malah, rumah tangga yang dibina berantakan dan dinoktahkan juga dengan perceraian di Thailand.

Jadi, apabila tindakan kurang matang yang dilakukan dulu oleh Halim dan bekas isteri, impaknya terkesan pada cahaya mata mereka, Myra. Seiring masa berlalu, Myra kekal 'berbinti Abdullah' selamanya.

Justeru, iktibar yang boleh diambil pada kisah Halim ini, bagi pasangan yang memilih jalan berkahwin di luar negara, ia tidak salah, tetapi perlu didaftarkan mengikut undang-undang Malaysia. Dalam hal ini, pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedia membantu.

Umpama kata Halim, tidak perlu berasa takut dan malu untuk berjumpa pihak JPN bagi mendapatkan nasihat dan kaunseling, kerana anda tidak akan ditangkap oleh mereka sebaliknya dibantu untuk menyelesaikan sebarang masalah.

"Tak dinafikan, perkara ini (berkahwin di Thailand) mungkin menimbulkan rasa malu kepada pasangan, tetapi jangan bimbang kerana segala rahsia peribadi anda itu akan disimpan kemas dan tidak sesekali didedahkan kepada pihak lain.

"Apabila berkahwin di luar negara seperti Thailand, pasangan yang bakal menjadi
ibu bapa kena peka untuk mendaftarkan perkahwinan mereka dengan segera. Jangan sesekali ambil mudah seperti apa yang sudah saya lakukan. Ia akan memberi stigma kepada keluarga dan anak," katanya.

Menurut Halim, dia yang selama ini kurang selesa berbicara mengenai peribadi akur kini harus bersikap terbuka bagi menjelaskan perkara sebenar.

Katanya, jangan takut untuk berbincang dengan JPN.

Sedar masa yang berlalu tidak boleh diundur semula, Halim berkata, natijah dari tindakannya itu dia reda tidak dapat menjadi wali untuk anaknya, Myra apabila bernikah nanti kerana perlu menggunakan wali hakim.

Kisah Halim dan Myra ini cukup menarik perhatian ramai yang mana ada juga netizen turut membangkitkan isu harta warisan.

Bagaimana nasib Myra untuk mewarisi harta daripada bapanya itu. Bagi hal ini, saya yakin Halim sudah menemui jalan penyelesaian terbaik.

Malah, untuk urusan harta juga pastinya ada pihak tertentu yang menguruskannya dan boleh dirujuk. Apapun, semoga 'buku baharu' yang dibuka keluarga Halim akan berjalan baik dan lancar sebagaimana diharapkan mereka untuk move on.

Selain kisah ini, satu lagi cerita selebriti yang jadi perhatian ialah 'perkahwinan rahsia' penyanyi yang juga 'abang bomba', Syafiq Farhain bersama pengurusnya yang difahamkan sudah saling mengenali sejak sekolah.

Apapun, kisah Syafiq ini tidak begitu mengejutkan kerana sudah dihidu media sebenarnya, tetapi atas sikap Syafiq yang tidak mahu berterus-terang dan selesa mengunci mulut, maka keputusannya itu dihormati.

Syafiq ada alasan tersendiri untuk mengaku atau tidak sudah berkahwin. Malah, kami media arus perdana tetap berpegang pada etika menyalurkan berita sahih. Bahkan, jika orang itu tidak mahu mengaku takkan perlu dipaksa pula.

Apapun, didoakan rumah tangga Syafiq dan isteri bahagia dan Syawal kali ini hendaknya membawa keberkatan buat kita semua.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 7:01 AM