GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Undang-undang untuk berpoligami di Kelantan dikatakan paling mudah jika dibandingkan dengan negeri lain.

Justeru, bagi mereka yang mahu berpoligami, tidak perlu pergi sehingga ke Thailand memandangkan ia boleh dilakukan di Kelantan dengan kos yang jauh lebih murah.

Pegawai Agama Jajahan Bachok Suratemi Mat Yusof berkata, mereka yang mahu berpoligami hanya perlu membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah.

"Mahkamah akan mempertimbang empat perkara iaitu pertama jika perkahwinan dicadangkan itu adalah patut atau perlu. Salah satunya perlu ada dan perkara ini berbeza dengan negeri lain kerana perlu kedua-duanya sekali iaitu patut dan perlu.

"Perlu kahwin kenapa? kerana isteri mandul atau dia uzur dan tidak layak untuk 'bersama'.

"Aspek patut pula sebagai contoh seorang lelaki itu mempunyai harta yang banyak, maka patut tambah isteri seorang lagi.

"Selain itu akan turut diteliti adalah mampu ke tidak seseorang lelaki itu menyara isteri dan anak-anak selain mampu berlaku adil atau sebaliknya.

"Perkara seterusnya pula perkahwinan kedua itu tidak mendatangkan kemudaratan yang menyentuh nyawa seperti isteri pertama terjun jambatan sebab mahu bunuh diri disebabkan suami berkahwin lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Suratemi berkata, mereka yang perlu hadir ke mahkamah iaitu bakal pengantin lelaki, bakal isteri kedua, wali isteri kedua, isteri pertama serta dua orang saksi.

"Mereka ini dipanggil bagi mengetahui sama ada bakal pengantin lelaki ini benar-benar mampu selain mengesahkan perkahwinan itu mendapat keizinan wali bakal isteri kedua.

"Kehadiran isteri pertama di mahkamah pula sekadar mahu memaklumkan perkara itu, namun sekiranya seorang suami memaklumkan isteri tidak dapat hadir disebabkan keuzuran dengan disertakan laporan kesihatan, mahkamah boleh menggugurkan isteri daripada dipanggil atau dimaklumkan," katanya.

Terdahulu tular video di TikTok berhubung penjelasan undang-undang poligami di Kelantan lebih mudah berbanding negeri lain.

Mengulas perkara itu, Suratemi berkata, video berkenaan bukan bertujuan menggalakkan lelaki berpoligami.

"Sebaliknya, kita tidak mahu mereka mengambil jalan mudah dengan berkahwin di Thailand kerana sah atau tidak di negara berkenaan pun kita tidak tahu.

"Malah harga untuk bernikah di Thailand pun mahal sehingga mencecah ribuan ringgit sedangkan perkahwinan di sini jauh lebih murah.

"Bagaimanapun, kebanyakan mereka yang berkahwin di Thailand disebabkan mereka tidak mahu perkahwinan itu diketahui oleh isteri kedua.

"Mereka memilih untuk meminta maaf di lain waktu berbanding meminta izin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 3:26 PM