TANGGUNGJAWAB yang dipikul dalam usaha menuntut ilmu adalah berat kerana bakal menggunakannya bagi meneruskan kesinambungan tradisi ilmu itu sendiri.
TANGGUNGJAWAB yang dipikul dalam usaha menuntut ilmu adalah berat kerana bakal menggunakannya bagi meneruskan kesinambungan tradisi ilmu itu sendiri.
SEGULUNG ijazah adalah langkah pertama siswa sebelum melangkah ke tahap seterusnya , sekali gus meneruskan kesinambungan negara pada masa depan.
SEGULUNG ijazah adalah langkah pertama siswa sebelum melangkah ke tahap seterusnya , sekali gus meneruskan kesinambungan negara pada masa depan.
GOLONGAN muda di negara ini sangat bertuah kerana mudah memperoleh akses pendidikan terbaik yang disediakan pelbagai institusi.
GOLONGAN muda di negara ini sangat bertuah kerana mudah memperoleh akses pendidikan terbaik yang disediakan pelbagai institusi.
Ruhaiza Rusmin


Antara agenda terpenting yang menjadi keutamaan bagi sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) adalah melahirkan graduan berkualiti berupaya cemerlang dalam semua aspek.

Tanggungjawab menjana kecemerlangan itu perlu dilunaskan sebaik mungkin sebagai satu usaha institusi menyaingi kehendak global selain turut memastikan ia seiring dengan matlamat ditetapkan.

Bagaimanapun, dalam merencanakan usaha itu, pastinya ada aspek yang perlu diberi penekanan dan dalam hal ini, ramai melihat siswa sebagai satu komponen paling penting perlu diberi pelbagai suntikan positif.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, siswa pada alaf baru ini mesti berani menyahut cabaran dunia pendidikan yang semakin kompetitif.

Menurutnya, walaupun pelbagai tanggapan diberikan kepada golongan terbabit, mereka perlu membuktikan persepsi yang bersifat negatif sebagai kurang tepat.

“Antara cabaran paling kritikal untuk siswa sekarang membuktikan mereka boleh menjadi aset berharga negara.

“Perlu ditangkis persepsi kurang tepat seperti yang dilemparkan pihak tertentu bagi meyakinkan masyarakat bahawa mereka boleh menjadi penerus kesinambungan negara pada masa depan.

“Pada alaf ini yang serba mencabar, itulah cabaran yang sangat besar bagi golongan itu pada hari ini. Sangat berat mahu melaksanakannya namun tidak mustahil,” katanya.

Beliau berkata, golongan muda di negara ini boleh dianggap bertuah kerana mereka memperoleh pelbagai akses pendidikan.

Menurutnya, bermula dari peringkat persekolahan hingga pengajian tertinggi di universiti, semua kemudahan sudah tersedia bagi memudahkan usaha melahirkan golongan berilmu, sekali gus meneruskan kesinambungan negara pada masa depan.

“Di peringkat persekolahan mereka ada tanggungjawab tertentu. Begitu juga ketika sudah menjejakkan kaki ke menara gading.

“Di sini (menara gading) tanggungjawab mereka menjadi lebih berat kerana bukan saja belajar untuk memperoleh ilmu tapi bakal menggunakannya bagi meneruskan kesinambungan tradisi ilmu itu sendiri.

“Sekiranya peluang diberikan itu tidak dimanfaatkan sebaiknya, yang rugi bukanlah institusi tapi siswa sendiri,” tegasnya yang mengatakan tempoh tiga hingga empat tahun di universiti adalah asas pertama mereka mengorak langkah menjadi manusia berjaya.

“Bermula dengan diploma hingga ijazah sarjana muda, adalah tempoh paling penting siswa memantapkan diri dengan segala keperluan seperti disyaratkan dunia global hari ini.

“Keperluan itu mencakupi akademik, kemahiran, pembangunan sahsiah, pengisian rohani dengan nilai positif, pembinaan imej yang berkaliber sebagai bakal pemimpin dan sebagainya.

“Oleh itu, manfaatkan tempoh ini untuk melengkapkan diri dengan segala keperluan kerana apabila melepasi tempoh kritikal ini, mereka sudah mempunyai asas kukuh untuk memacu perjalanan seterusnya,” katanya.

Siswa di negara ini juga, katanya, sangat beruntung kerana berpeluang bersaing dengan siswa antarabangsa kerana skop pendidikan tinggi juga sudah melangkah ke arena antarabangsa hingga mampu membawa siswa atau kepakaran dari seluruh dunia.

Menurutnya, jika dulu peluang belajar dengan siswa atau bekerjasama dengan kepakaran asing cukup kecil, kini segalanya sudah ada dan kelebihan itu seharusnya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

"Jika dulu, peluang seperti ini sangat terbatas tapi kini kekangan itu sudah semakin mengecil. Taraf antarabangsa sudahpun memasuki dunia pendidikan negara ini.

"Mengapa peluang yang ada ini tidak dipergunakan sepenuhnya seperti memperluaskan skop sosial dan budaya bersama mereka? Berkongsi pengalaman bersama golongan itu.

“Ia bukan sia-sia tapi boleh membantu melonjakkan pencapaian siswa. Tidak usah lagi duduk berkelompok dengan rakan senegara tapi ambil peluang mencuba pelbagai mekanisme yang bermanfaat untuk diri,” katanya.

Malah beliau juga yakin, siswa tempatan sebenarnya bijak.

“Namun disebabkan beberapa faktor antaranya suka beralasan, culas dan bersikap sambil lewa menyebabkan mereka gagal memanfaatkan peluang diberikan dengan baik.

“Akibatnya daripada cemerlang pada permulaan, sebahagian besarnya hanya mampu dapat keputusan cukup makan saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 6:19 AM