DI universiti, pensyarah hanya bertindak sebagai moderator dan siswa perlu berusaha untuk mencipta kejayaan. - Gambar hiasan
DI universiti, pensyarah hanya bertindak sebagai moderator dan siswa perlu berusaha untuk mencipta kejayaan. - Gambar hiasan
 HUBUNGAN baik dengan pensyarah kelebihan buat siswa. - Gambar hiasan
HUBUNGAN baik dengan pensyarah kelebihan buat siswa. - Gambar hiasan
PEMILIHAN rakan elemen penting dalam menentukan kejayaan siswa. - Gambar hiasan
PEMILIHAN rakan elemen penting dalam menentukan kejayaan siswa. - Gambar hiasan
PEMBABITAN dalam pelbagai aktiviti persatuan, kelab atau pertubuhan platform terbaik untuk siswa belajar memperkasakan diri dengan nilai kemahiran apabila memasuki alam pekerjaan kelak. - Gambar hiasan
PEMBABITAN dalam pelbagai aktiviti persatuan, kelab atau pertubuhan platform terbaik untuk siswa belajar memperkasakan diri dengan nilai kemahiran apabila memasuki alam pekerjaan kelak. - Gambar hiasan
FOKUS pada tujuan utama memasuki universiti dan jangan terbabit dengan elemen yang boleh memusnahkan cita-cita. - Gambar hiasan
FOKUS pada tujuan utama memasuki universiti dan jangan terbabit dengan elemen yang boleh memusnahkan cita-cita. - Gambar hiasan
RAKAN kelompok terbesar di persekitaran siswa. Jika pilihan dibuat tepat, mereka pasti beruntung. - Gambar hiasan
RAKAN kelompok terbesar di persekitaran siswa. Jika pilihan dibuat tepat, mereka pasti beruntung. - Gambar hiasan
SISWA akan merencanakan masa depan sama mahu berjaya atau sebaliknya. - Gambar hiasan
SISWA akan merencanakan masa depan sama mahu berjaya atau sebaliknya. - Gambar hiasan
Ruhaiza Rusmin


Sesi pengajian di semua institusi pengajian tinggi (IPT) sudah bermula, sekali gus menjadi medan kepada siswa baru menempuh cabaran sebenar di menara gading.

Biarpun kemasukan mereka ke IPT bersandarkan pencapaian akademik cemerlang dan memenuhi syarat ditetapkan, namun andai tersalah perancangan, impian mencipta kejayaan pasti tersasar.

Siswa bukan saja perlu bergelut dengan pengajian, kuliah, kertas kerja dan pelbagai aktiviti, malah belajar berdikari dalam segala aspek bagi merencanakan hala tuju hidup serta belajar membuat keputusan.

Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang Dr Hasnah Hussiin berkata, banyak faktor perlu diberi perhatian sebaik bergelar siswa.

Menurutnya, siswa baru perlu belajar mengemudi kehidupan, membuat keputusan dan pada masa sama menyesuaikan diri untuk memahami dan menerima perbezaan orang lain.

“Memasuki universiti bermakna mereka perlu bersedia untuk belajar dan ‘pelajaran’ itu mungkin tidak pernah ditemui sebelum ini.

“Dalam konteks ini, ilmu bukan sekadar datang dari buku atau dewan kuliah tapi juga persekitaran, individu, kumpulan dan sebagainya.

“Siswa perlu bersedia menerima segala perubahan itu bagi memastikan mereka boleh menyesuaikan diri,” katanya.

Beliau mengakui, ketidaksediaan untuk membuka minda atau menerima perubahan boleh mengakibatkan kejutan.

“Segelintir orang berpendapat kejutan budaya ini hanya sementara dan akan hilang dengan sendirinya.

“Sebenarnya, kejutan budaya ini perlu ditangani kerana ia akan menjadi penentu sama ada mereka berjaya atau sebaliknya.

“Dengan kata lain, jangan ambil mudah terutama siswa baru yang masih ‘kosong’ dengan pengalaman di kampus atau persekitaran sosial,” katanya yang menekankan antara kepentingan itu ialah kebijaksanaan memilih rakan.

“Rakan kelompok paling besar di kampus dan pengaruh mereka sangat mencabar kerana boleh menarik ke arah positif atau sebaliknya. Tersalah pilih kawan, natijahnya akan ditanggung sendiri,” katanya.

Dr Hasnah juga menyarankan siswa membina hubungan baik dengan pensyarah sebagai pemudah cara untuk mengikuti proses pembelajaran.

Menurutnya, pembelajaran di universiti berlainan dengan peringkat sekolah menengah yang proses pemindahan ilmu lebih banyak dilakukan guru.

“Tapi di universiti, pensyarah akan bertindak sebagai moderator sahaja dan siswa perlu berdikari. Pensyarah hanya akan beri 10 peratus ilmu, 90 peratus lagi tanggungjawab penuntut menggalinya.

“Di universiti, mereka mesti belajar berdikari dengan bimbingan minimum pensyarah,” katanya.

Untuk berjaya, katanya, siswa perlu rajin berusaha namun pada masa sama tidak mengenepikan keperluan lain.

“Universiti adalah alam yang cukup unik kerana di sinilah kita akan membentuk masa depan mengikut acuan sendiri.

“Kalau acuannya baik, hasilnya akan baik tapi kalau sebaliknya, hasilnya juga begitu,” katanya.

Beliau turut menyarankan siswa tidak melepaskan peluang membabitkan diri dengan pelbagai aktiviti berbentuk persatuan, kelab, pertubuhan dan sebagainya.

Menurutnya, kebanyakan siswa beranggapan aktiviti itu membuang masa menyebabkan mereka hanya menumpukan perhatian pada buku semata-mata.

“Jika beranggapan begitu, mereka memang rugi kerana pembabitan dalam aktiviti seperti ini ada nilai kredit besar dalam rekod pencapaian kokurikulum.

“Di kampus, siswa bukan sahaja didedahkan dengan dunia akademik, malah universiti sentiasa membuka peluang untuk sesiapa saja mengasah bakat serta kecenderungan masing-masing.

“Tujuannya untuk melatih dan mempersiapkan mereka dengan nilai dikehendaki pasaran kerjaya,” katanya.

Dr Hasnah berkata, siswa juga perlu rajin dan berani menyelongkar ilmu dan pengalaman di luar kepompong kebiasaan jika tidak mahu hidup dalam ruang minda yang sempit.

“Falsafah Pendidikan Negara menggariskan panduan jelas iaitu mahu melahirkan generasi minda kelas pertama.

“Untuk itu, siswa tidak boleh hidup dalam dunia mereka sahaja, sebaliknya mempertingkatkan diri dan menggunakan apa saja peluang ditawarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 5:30 AM