Kabul: Seorang pegawai Afghanistan berkata, satu serangan udara tentera NATO di timur negara itu membunuh tujuh kanak-kanak, termasuk seorang budak berusia sembilan tahun.

Timbalan Gabenor Paktia, Abdul Wali Sahi berkata, penduduk kampung membawa tujuh mayat berkenaan dari kawasan Udkey ke Gardez bagi membuktikan mangsa serangan itu bukan militan.

"Siasatan menunjukkan penduduk kampung mengumpul kayu api di kawasan pinggir gunung sebagai persediaan menjelang musim sejuk apabila mereka diserang," katanya.

Kata Abdul Wali, mangsa membawa penyodok ketika mencari kayu api dan ia mungkin menyebabkan tentera NATO menyangka mereka adalah pemberontak.

Sementara itu jurucakap NATO, Lt Kol David Olson berkata serangan itu dibuat di kawasan berkenaan selepas mereka ditembak.

"Hasilnya, lapan orang musuh maut," katanya.

Pemberontak Taliban dan rangkaian militan Haqqani didakwa aktivi di wilayah Paktia. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:01 AM