Ravale Savarinathan


Teluk Intan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan berlaku kebocoran gas petroleum cecair (LPG) pada saluran paip di Makmal Patologi Hospital Teluk Intan (HTI) di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Zulkifli Abdullah berkata, lapan anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke hospital berkenaan selepas menerima maklumat itu dan pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran gas.

"Pihak kami membuat pemeriksaan menyeluruh dan menutup saluran gas berkenaan buat sementara waktu.

"Anggota mengambil masa sejam untuk memulihkan keadaan," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Dalam kejadian 11 pagi tadi, lebih 50 kakitangan hospital itu bergegas keluar dan berkumpul di kawasan lapang bagi mengelak sebarang kemungkinan selepas mereka terhidu gas.

Tinjauan mendapati kawasan berkenaan ditutup dan orang ramai dihalang daripada memasuki kawasan berkenaan sebagai langkah keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 6:40 PM
KAKITANGAN Hospital Teluk Intan mengosongkan makmal hospital selepas terhidu gas. FOTO Ravale Savarinathan
KAKITANGAN Hospital Teluk Intan mengosongkan makmal hospital selepas terhidu gas. FOTO Ravale Savarinathan