ANGGOTA bomba membersihkan tumpahan raksa. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membersihkan tumpahan raksa. FOTO ihsan Bomba
Mohammed Arsyad Md Yassin


Teluk Intan: Empat lelaki dihantar ke Hospital Teluk Intan (HTI) kerana dikhuatiri terpijak tumpahan raksa daripada termometer yang pecah di rumah di Taman Kerantina di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, empat lelaki berusia 30-an berkenaan dikatakan berada di dalam rumah yang disewa mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Zulkafle Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.38 malam.

Katanya, anggota bomba yang dikerahkan ke lokasi memakai peralatan keselamatan lengkap dan membuat tinjauan bagi mengenal pasti lokasi kejadian selain memastikan kawasan berkenaan tidak dimasuki orang awam.

"Pembersihan dilakukan dengan menaburkan sulfur pada lantai rumah bagi membolehkan merkuri tersebut diserap sepenuhnya dan memindahkan ke dalam beg plastik kimia.

"Lantai berkenaan kemudian dibilas dan dicuci dengan bahan peluntur serta anggota membuat suluhan lampu suluh bagi memastikam tiada lagi sisa merkuri tertinggal," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka diperiksa dan diberikan rawatan awal oleh doktor.

"Mereka dibenarkan pulang selepas pemeriksaan menunjukkan keputusan negatif daripada sebarang kesan sampingan akibat tumpahan raksa berkenaan," katanya.

Zulkafle berkata, selepas hampir sejam operasi pembersihan dilakukan, anggota bomba menjalankan pembersihan pakaian dan peralatan yang digunakan dengan semburan air.

Katanya, operasi tamat pada 11.50 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 9:42 AM