FAIZAL (tengah) dipapah rakan sepasukan. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
FAIZAL (tengah) dipapah rakan sepasukan. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Malik Muhamad


PENYERANG hoki kebangsaan, Faizal Saari, bakal berehat hingga tamat saingan Liga Hoki Malaysia, musim ini, berikutan mengelami kecederaan paha ketika membantu Terengganu Hockey Team (THT) menundukkan TNB dalam saingan liga, di Stadium Hoki Batu Buruk, hari ini.

Khabar kurang gembira itu disahkan Ketua Jurulatih THT, Sarjit Singh selepas tamat permainan yang berakhir skuad itu menang besar 6-1 ke atas TNB.

"Faizal akan dirujuk kepada pakar perubatan. Tapi, berdasarkan kecederaan seriusnya itu berkemungkinan besar dia terpaksa berehat panjang.

"Bagaimanapun, ketiadaan penyerang berusia 26 tahun itu tidak begitu menggusarkan kem THT kerana beberapa pemain lain mampu mengisi kekosongan yang mungkin ditinggalkan Faizal," katanya.

Penyerang lincah itu cedera pada minit ke-29 ketika cuba melorongkan bola kepada adiknya, Mohd Fitri ketika melakukan serangan balas ke arah pintu gol lawan yang dikawal penjaga gol kebangsaan, S Kumar.

Kejadian itu menyebabkan Faizal terpaksa dipapah keluar dari padang untuk mendapatkan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 9:18 PM