Arifin (kiri) bersama tiga individu yang lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan memiliki cop pegawai perubatan HTJ palsu dan menggunakan sijil cuti sakit palsu pada tahun lalu. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Arifin (kiri) bersama tiga individu yang lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan memiliki cop pegawai perubatan HTJ palsu dan menggunakan sijil cuti sakit palsu pada tahun lalu. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Suami isteri dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun dengan cagaran RM6,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas 12 pertuduhan memiliki cop pegawai perubatan palsu, tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nurulfitriza Abd Latif selepas Arifin Musa, 35, dan isterinya, Nor Amalina Nor Azhar, 30, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memiliki 12 cop pegawai perubatan Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dan Jabatan Pesakit Luar Klinik Kesihatan Seremban yang boleh digunakan untuk melakukan pemalsuan di sebuah rumah di Taman Casurina, Paroi, pada jam 9.45 malam, 25 Mei 2016.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 473 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dua beradik lelaki turut dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun dengan cagaran RM1,200 bagi setiap pertuduhan kerana didapati menggunakan sijil cuti sakit kerajaan yang diketahui palsu, tiga tahun lalu.

Mohammad Nazri Mohamad Arof, 36, berdepan empat pertuduhan manakala Muhamad Yusof, 31, berdepan tiga pertuduhan dan mereka mengaku bersalah bagi semua pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menggunakan sijil cuti sakit berkenaan di syarikat tempat bekerja di Kawasan Perindustrian Oakland, di sini, pada 1 Julai hingga 11 Ogos 2014.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Soo Kok Weng manakala tertuduh diwakili peguam S Puspanathan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 3:07 PM