SISWA antara aset terpenting pembangunan negara, oleh itu pendidikan merentasi global boleh menjadi mekanisme melahirkan golongan terpelajar dan berakhlak. - Gambar hiasan
SISWA antara aset terpenting pembangunan negara, oleh itu pendidikan merentasi global boleh menjadi mekanisme melahirkan golongan terpelajar dan berakhlak. - Gambar hiasan
GLOBALISASI pendidikan akan membawa pelajar ke arah kehidupan bertanggungjawab dan bermasyarakat dengan pelbagai penyertaan aktiviti di institusi. - Gambar hiasan
GLOBALISASI pendidikan akan membawa pelajar ke arah kehidupan bertanggungjawab dan bermasyarakat dengan pelbagai penyertaan aktiviti di institusi. - Gambar hiasan
MENERUSI globalisasi, memberi peluang kepada pelajar asing untuk menimba ilmu di negara ini sekali gus memungkinkan pelbagai pertukaran budaya, maklumat serta kepakaran. - Gambar hiasan
MENERUSI globalisasi, memberi peluang kepada pelajar asing untuk menimba ilmu di negara ini sekali gus memungkinkan pelbagai pertukaran budaya, maklumat serta kepakaran. - Gambar hiasan
TARAF pendidikan yang meningkat juga membuka peluang penciptaan pelbagai inovasi baru daripada generasi muda. - Gambar hiasan
TARAF pendidikan yang meningkat juga membuka peluang penciptaan pelbagai inovasi baru daripada generasi muda. - Gambar hiasan
UNTUK memastikan kita tidak tertinggal atau menjadikan sektor pendidikan negara lebih berkualiti, banyak perubahan perlu dilakukan atau dirombak demi kelangsungan generasi masa depan. - Gambar hiasan
UNTUK memastikan kita tidak tertinggal atau menjadikan sektor pendidikan negara lebih berkualiti, banyak perubahan perlu dilakukan atau dirombak demi kelangsungan generasi masa depan. - Gambar hiasan
PELBAGAI langkah proaktif, jangka pendek atau panjang serta lain-lain perancangan perlu dilaksanakan bagi meningkatkan lagi keupayaan sektor pendidikan negara untuk bersedia menerima perubahan globalisasi dunia pendidikan. - Gambar hiasan
PELBAGAI langkah proaktif, jangka pendek atau panjang serta lain-lain perancangan perlu dilaksanakan bagi meningkatkan lagi keupayaan sektor pendidikan negara untuk bersedia menerima perubahan globalisasi dunia pendidikan. - Gambar hiasan
Ruhaiza Rusmin

Globalisasi bukanlah satu fenomena baru yang hanya berlaku pada abad 21, sebaliknya sudah lama berada dalam lingkungan masyarakat.

Namun pengaruh dan kesannya yang cukup minimum suatu ketika dulu kini menjadi semakin hebat dan ketara dalam semua aspek kehidupan sejagat.

Dalam dunia pendidikan, globalisasi juga dilihat sebagai satu transformasi yang memungkinkan pelbagai langkah proaktif dilaksanakan bertujuan memastikan sektor pendidikan tempatan mampu bersaing dan bersedia dengan segala kemungkinan.

Biarpun ada segelintir pihak menganggap perubahan itu agak drastik, bagi memastikan sektor pendidikan tempatan mampu bersaing, ia perlu dilaksanakan tanpa berlengah.

Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Dr Hasnah Hussiin berkata transformasi itu perlu dilaksanakan bagi memastikan sektor pendidikan tempatan mampu menyaingi kehendak globalisasi sekali gus memacunya ke tahap lebih dinamik.

Menurutnya, Falsafah Pendidikan Negara menekankan bahawa pendidikan adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu.

“Falsafah Pendidikan Negara juga bertujuan mewujudkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan serta kepatuhan kepada Tuhan.

“Ia juga bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat atau negara.

“Oleh itu, penekanan penting perlu diberikan kepada sektor pendidikan kerana ia adalah platform yang sangat penting bukan saja dalam melahirkan modal insan tapi juga meliputi ilmu dan akhlak,” katanya.

Dr Hasnah berkata, dalam bidang pendidikan, globalisasi membawa impak dan perubahan besar sama ada menerusi kurikulum pendidikan serta sistem pendidikan itu sendiri.

Menurutnya, arus globalisasi meletakkan sistem pendidikan itu sebagai penanda aras kemajuan sesebuah negara dan jika gagal mencapai kualitinya, sistem berkenaan dikhuatiri tidak mampu bersaing dengan negara lain.

“Walaupun pada dasarnya, agak sukar mengejar kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa, tapi ia mesti dilakukan kerana inilah kehendak globalisasi pendidikan.

“Bagi tujuan memastikan kita tidak tertinggal atau menjadikan sektor pendidikan negara lebih berkualiti, banyak perubahan perlu dilakukan atau dirombak.

“Sekurang-kurangnya bagi memastikan taraf pendidikan semasa mematuhi standard antarabangsa kerana ia juga berupaya memberi kesan kepada perbelanjaan pendidikan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau menegaskan jika standard globalisasi tidak ditekankan dari semasa ke semasa ia secara tidak langsung memberi kesan kepada generasi muda dari aspek peluang pekerjaan, kualiti pendidikan, penguasaan bahasa serta rohani dan jasmani.

“Sebab itu, tanggungjawab untuk mengiringi sektor pendidikan negara supaya bersama - sama selari dengan globalisasi pendidikan antarabangsa sangat sukar.

“Tapi ia mesti dilaksanakan demi kebaikan masa depan,” katanya.

Bagaimanapun, di tengah kerancakan transformasi dilaksanakan itu, katanya, terdapat juga kesan positif atau negatif yang bakal dihadapi.

Menurutnya, institusi pengajian tinggi sama ada awam atau swasta berupaya membuka peluang seluas-luasnya kepada pelajar asing untuk menimba ilmu di negara ini.

“Rentetan itu, pelbagai prasarana pendidikan diwujudkan atau dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak semasa dan ini juga menjadikan sistem pendidikan di negara ini pesat membangun.

“Kebanjiran pelajar asing ini membawa maksud sistem pendidikan negara ini sudah mencapai tahap antarabangsa, dapat memberi peluang untuk pertukaran budaya antara pelajar tempatan dan antarabangsa serta dapat membina hubungan baik antara kedua-dua negara.

“Malahan pemindahan kepakaran dan teknologi juga dapat dibangunkan dengan adanya pengambilan tenaga pakar dari luar negara,” katanya.

Bagaimanapun, dari sudut negatif pula, kedatangan pelajar asing ini membawa bersama budaya dari negara asal dan jika tidak ditangani secara berhemah beberapa elemen tidak baik boleh meresap ke negara ini.

Pada masa sama, menurutnya, ia juga menjadikan sistem pendidikan negara berubah-ubah mengikut perkembangan arus globalisasi dan dikhuatiri timbul pula ketidakseimbangan apabila sesetengah keadaan globalisasi dilihat tidak dapat diterima seluruh lapisan masyarakat.

“Umpamanya jika masyarakat itu masih lagi dalam usaha membangunkan sistem maklumat, kurangnya akses kepada negara luar, teknologi masih berada di tahap rendah, tahap pendidikan rendah, kurang menguasai bahasa asing khususnya bahasa Inggeris serta kurangnya tenaga pakar dalam membangunkan sistem pendidikan negara.

“Arus globalisasi yang sentiasa berubah juga boleh memberi kesan kepada identiti nasional memandangkan sistem pendidikan berubah kerana kehendak pihak luar dan bukan kerana memenuhi tuntutan serta keperluan pendidikan semasa negara.

“Oleh itu, pelbagai langkah proaktif, jangka pendek atau panjang dan lain - lain perancangan perlu dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan sektor pendidikan negara kita untuk menerima globalisasi ini,” katanya.

Beliau menegaskan, apa yang paling dikhuatiri ekoran pengaruh globalisasi adalah pengkomersialan pendidikan.

Menurutnya, apabila ada pihak yang menjadikan pendidikan ini sebagai sumber untuk mendapatkan keuntungan, ia akan mengorbankan masa depan bangsa dan negara.

“Jika ia mengejar keuntungan, kualiti pendidikan akan diketepikan dengan mewujudkan syarat longgar untuk kemasukan pelajar, pensyarah yang tidak mempunyai kemahiran dan kelayakan sewajarnya, kualiti pendidikan tidak terjaga, prasarana tidak mencukupi, kurikulum yang tidak mempunyai kelayakan dan sebagainya.

“Selain itu ditakuti juga penghayatan ilmu dalam kalangan pelajar semakin berkurang apabila mereka menuntut ilmu hanya untuk lulus peperiksaan sahaja dan bukannya menggunakan ilmu tersebut untuk membina kehidupan di masa depan.

“Kita tidak boleh lari daripada menerima impak globalisasi, cuma ia memerlukan kebijaksanaan untuk memastikan impak globalisasi itu tidak akan meminggirkan apa yang ada dan tidak pula melepaskan peluang perlu direbut demi masa depan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 11:12 AM