GURU juga perlu membina kemahiran dalam penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat sebagai wadah melancarkan lagi proses profesionalisme keguruan dalam kalangan mereka. - Gambar hiasan
GURU juga perlu membina kemahiran dalam penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat sebagai wadah melancarkan lagi proses profesionalisme keguruan dalam kalangan mereka. - Gambar hiasan
MASYARAKAT sangat kritikal mengenai isu pencapaian pelajar. - Gambar hiasan
MASYARAKAT sangat kritikal mengenai isu pencapaian pelajar. - Gambar hiasan
SEKTOR pendidikan negara perlu bersedia merentasi cabaran globalisasi dan pengaksesan ilmu tanpa sepadan. - Gambar hiasan
SEKTOR pendidikan negara perlu bersedia merentasi cabaran globalisasi dan pengaksesan ilmu tanpa sepadan. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Norzaali

Dalam usaha memartabatkan dunia perguruan ke tahap lebih profesional dan diyakini, Malaysia memerlukan satu mekanisme standard sebagai kayu pengukur.

Antara yang boleh dilaksanakan ialah meluaskan peluang kepada guru atau bakal dalam perkhidmatan serta memperkasakan latihan dari aspek pendidikan guru dan peningkatan taraf profesionalisme.

Bagaimanapun, di sebalik pelbagai usaha giat dilaksanakan itu, masih ada pandangan skeptikal dilemparkan kepada golongan terbabit dan beranggapan kerjaya guru pada hari ini lebih kepada mengisi kekosongan jawatan sedia ada.

Mengakibatkan profesionalisme guru sebagai satu bidang kerjaya pilihan bagaikan tercalar dan tergugat sedangkan profeison ini sudah mengalami perluasan serta pengiktirafan globalisasi.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim Perak Prof Dr Mohd Sahandri Gani Hamzah berkata, profesionalisme guru hari ini sudah meningkat sejajar dengan perkembangan globalisasi dan tidak boleh diragui kredibilitinya.

Beliau berkata, graduan pendidikan yang menjadikan perguruan sebagai kerjaya utama sudah semakin dimantapkan dengan pelbagai ilmu dan kemahiran bagi melonjakkan lagi profesionalisme keguruan.

“Justeru, adalah tidak adil memberi label atau pandangan kurang tepat mengenai bidang profesionalisme keguruan ini ha­nya disebabkan fakta yang salah ataupun maklumat kurang tepat.

“Jangan jadikan isu ini juga sebagai wadah ‘menghentam’ bidang keguruan kerana bakal guru dilahirkan hari ini sudah dimantapkan dengan pelbagai kemahiran bagi menjalankan tugasan mereka.

“Ia sejajar meningkat­kan lagi profesionalisme mereka sekali gus menyediakan barisan guru mantap yang bukan saja mampu menjalankan tugasan dengan baik, malah berdepan perubahan globalisasi pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, bagi menyaingi keperluan globalisasi, guru atau bakal guru juga sudah didedahkan pengetahuan secara global bagi mengekal atau melonjakkan nilai intelektual.

“Sebagai ejen perubahan mereka menjadi ‘penghubung’ bagi menghasilkan produk atau modal kepada golongan sasaran. Justeru nilainya mesti menepati standard ditetapkan.

“Mereka adalah mekanisme penghubung untuk melahirkan sumber modal insan berkualiti negara, justeru guru perlu menjadi contoh terbaik bagi masyarakat sekeliling tanpa terpalit dengan isu negatif,” katanya.

Guru juga perlu mengambil inisiatif memperluaskan pengetahuan secara global sebagai menyahut cabaran globalisasi.

Sebagai contoh, katanya, golongan itu perlu meningkatkan pelbagai kemahiran dalam dunia komunikasi berasaskan interaktif, sains dan teknologi serta interaksi global bagi meluaskan konsep pembelajaran mengatasi bilik darjah.

“Zaman guru ‘terperap’ di kelas dengan papan hitam dan kapur sudah berlalu kerana mereka kini berada pada era moden.

“Mempelbagaikan peng­gunaan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi misalnya, guru dapat melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) merentasi penyediaan pengalaman pelajar tanpa terbatas.

“Kita tidak boleh menolak atau menafikan, sokongan penggunaan alat bantuan mengajar lebih ‘advance’ sangat diperlukan pelajar zaman ini dan kerana itu, guru juga peka mengenai keberkesanannya dalam membantu proses P&P,” katanya.

Dalam membincangkan keperluan perubahan dari aspek bidang pendidikan dalam era globalisasi, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO ) mencadangkan untuk merombak cara membangunkan potensi sumber manusia melalui tatacara pendidikan secara formal dan tidak formal.

Beliau berkata, di samping memantapkan kemahiran guru, globalisasi dalam dunia pendidikan juga memerlukan sektor pendidikan Malaysia melakukan anjakan paradigma bagi mengukuhkan makna kualiti pendidikan serta kurikulum ditawarkan.

Terdapat perubahan kurikulum terutama dari segi strategi pelaksanaan P&P diperkenalkan seperti:

1. Sekolah Bestari: Tumpuan kepada proses pengembangan dan pemupukan pembelajaran dengan menggunakan komputer dan penggunaan multimedia.

2. Projek Sekolah Net: Penggunaan komputer peribadi dan persekitaran Local Area Network (LAN). Guru berfungsi sebagai penerima maklumat sesuatu bahan kurikulum dan pembelajaran daripada luar dan kemudian menyalurkannya kepada pelajar. Ini memberi peluang kepada pelajar mendapat kemahiran dan maklumat sesuai dengan keupayaan mereka dan aplikasi pelbagai stail pembelajaran.

3. Projek Smart Lab: Menggunakan jaringan komputer bagi memboleh­kan pelajar mengakses ilmu dan maklumat daripada pelbagai sumber de­ngan guru berfungsi sebagai pemandu, pelayar dan pemudahcara.

4. Projek Sekolah Vista: Perisian aplikasi bagi pe­ngurusan bilik darjah untuk pengajaran dan pembelajaran. Ini bagi membolehkan guru menguruskan bilik darjah dengan berkesan dan memberi peluang kepada pelajar berkomunikasi secara elektronik dengan rakan dan guru.

“Perkembangan dari segi penggunaan teknologi maklumat, kurikulum di negara ini sudah disemak dan diberi nilai tambah supaya relevan dan berupaya menyediakan pelajar dengan kemahiran tertentu bagi menghadapi persekitaran global setelah mereka melepasi alam persekolahan,” katanya.

Beliau turut menekankan mengenai perkembangan profesionalisme guru dengan pengkajian mengenai kesan globalisasi mampu mempengaruhi aspek berkenaan.

“Aspek berkenaan perlu diperkukuhkan selari dengan cabaran yang bakal dihadapi untuk jangka panjang, antaranya meningkatkan kualiti guru sama ada dari segi kelayakan akademik, kepakaran dalam pengajaran, kualiti professional dan kualiti personal atau kepimpinan guru dalam organisasi sekolah dan masyarakat.

“Masyarakat kini amat prihatin dalam soal pendidikan dan bersikap agak prejudis dan kritikal terhadap isu berkaitan pencapaian pelajar.

“Justeru, pemantapan dalam nilai profesionalisme guru perlu dilakukan secara berterusan dan pengurangan tumpuan kepada aspek lain akan menghalang pelaksanaan pendidikan terutama bagi memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 5:02 AM