KEADAAN trafik di kedua-dua lebuh raya PLUS dari Juru ke Seberang Jaya dan Sungai Dua ke Bukit Tambun berikutan Tahun Baru Cina. Foto dirakamkan pada 6.20 petang, 28 Januari. FOTO Amir Irsyad Omar
KEADAAN trafik di kedua-dua lebuh raya PLUS dari Juru ke Seberang Jaya dan Sungai Dua ke Bukit Tambun berikutan Tahun Baru Cina. Foto dirakamkan pada 6.20 petang, 28 Januari. FOTO Amir Irsyad Omar
Farah Suhaidah Othman


Tapah: Hampir 130,000 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya di seluruh negara atas pelbagai kesalahan lalu-lintas sepanjang tujuh hari Op Selamat Tahun Baru Cina, sejak 21 Januari.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mahamad Khir Darus, berkata daripada jumlah itu, 68,146 saman membabitkan rakaman kamera.

Katanya, 26,494 saman pula dikeluarkan anggota trafik manakala baki adalah saman yang ditukarkan daripada notis kesalahan kepada saman.

Menurutnya, mengikut pecahan kesalahan pula, had laju mencatatkan jumlah saman paling tinggi iaitu 49,611 diikuti 1,997 kesalahan memotong barisan.

“1,628 sama bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat manakala 446 saman kesalahan menggunakan lorong kecemasan.

“Sepanjang perjalanan saya ke R&R (Hentian Rehat dan Rawat) Tapah dari Kuala Lumpur, pengguna tidak lagi menggunakan lorong kecemasan.

“Perubahan sikap tidak mementingkan diri sendiri perlu diteruskan supaya tidak membahayakan nyawa sendiri dan orang lain,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Op Selamat 10/2017 di R&R Tapah di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua JSPT Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik dan Timbalannya, Deputi Superintendan Mohd Mahiri Hussin.

Mahamad Khir berkata, jumlah kemalangan maut sepanjang tujuh hari operasi berkenaan dilancarkan di seluruh negara mencatatkan penurunan.

“100 kematian direkodkan tahun ini dalam tujuh hari berbanding 132 kematian bagi tempoh sama tahun lalu, yang mana menunjukkan penurunan 24 peratus.

“Penunggang dan pembonceng motosikal terus merekodkan jumlah kematian tinggi tahun ini 59 kematian manakala 25 bagi pemandu dan penumpang kereta,” katanya.

Katanya, 5,000 pegawai dan anggota trafik di setiap kontinjen di seluruh negara dengan dibantu anggota 368 JSPT Bukit Aman bertugas di sepanjang dua minggu operasi.

Menurutnya, ini termasuk memantau 140 lokasi hitam yang sering berlaku kemalangan.

Keterangan Gambar:

PIX: Mahamad Khir menyerahkan beg cederahati pada kempen Op Selamat 10/2017 sempena perayaan Tahun Baharu Cina

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 6:56 PM