Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail (dua kiri) membantu menghidangkan makanan kepada mangsa banjir di PPS SMK Pak Badol, Bachok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail (dua kiri) membantu menghidangkan makanan kepada mangsa banjir di PPS SMK Pak Badol, Bachok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamed Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan semakin berkurangan dengan hanya 4,059 orang setakat 12 tengah hari.

Jumlah itu menyusut 2,234 orang berbanding 9 pagi tadi.

Portal eBanjir Kelantan turut merekodkan penutupan sepenuhnya PPS di Bachok yang sebelum ini dibuka di SMK Pak Badol dan lapan lagi PPS di Kota Bharu dan Pasir Mas.

Jumlah mangsa banjir tertinggi masih di Pasir Puteh dengan 2,546 mangsa daripada 691 keluarga diikuti Pasir Mas dengan 1,088 mangsa daripada 403 keluarga.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat, Che Omar Mohamad berkata, sesi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di SK Kebakat yang ditangguhkan semalam, berlangsung baik pagi ini.

Beliau berkata, sekolah itu ditutup sementara kerana dijadikan PPS sejak Jumaat bersama SK Kubang Batang dan SK Berangan 1.

"Namun P&P di SK Kubang Batang dan SK Berangan 1 tetap berlangsung walaupun dijadikan PPS kerana masih mempunyai kelas kosong.

"Cuma SK Kebakat yang kita tutup seketika dan hari ini dapat dibuka semula," katanya.

Katanya, empat sekolah di Tumpat yang masih ditutup kerana banjir adalah SK Teluk Jering, SK Bendang Pak Yong, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Nurul Huda dan SK Simpangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 2:42 PM