BERGAMBAR kenangan tanda permuafakatan untuk menyokong penubuhan ILKBS.
BERGAMBAR kenangan tanda permuafakatan untuk menyokong penubuhan ILKBS.
Ruhaiza Rusmin

Alumni Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKB) yang terdiri daripada lnstitut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), 13 Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan sebuah Akademi Kemahiran Golf bakal menubuhkan persatuan yang dikenali sebagai Persatuan Alumni Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) Malaysia.

Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran, Kementerian Belia dan Sukan Dr Wasitah Mohd Yusof dalam ucapan perasmian penubuhan Persatuan ILKBS Malaysia berharap bekas pelajar daripada 22 institut dapat memberi sokongan dan komitmen dalam pembentukan persatuan yang bakal menghimpunkan bekas pelajar era 70-an hingga sekarang.

Menurutnya, penubuhan persatuan berkenaan diharap dapat merealisasikan objektif untuk menyatukan semua alumni ILKBS dalam satu wadah yang dapat memberi kebaikan kepada alumni itu sendiri.

“Penubuhan persatuan ini, diharap dapat menjadi taruhan yang berpotensi memberi nilai tambah kepada ILKBS secara keseluruhan.

“Alumni ILKBS yang mencecah 100,000 dan berkerjaya di pelbagai segmen industri perlu membina jaringan sistematik bagi mewujudkan serta membantu alumni meningkatkan daya saing ILKBS dalam pelbagai lapangan dengan lebih berkesan.

“Dalam konteks ini, rasa pemilikan yang tinggi terhadap ILKBS penting tanpa mengira mana-mana institusi. Paling penting ia dapat memberikan khidmat dan sumbangan kepada institusi di mana mereka belajar suatu ketika dulu,” katanya.

Menerusi mesyuarat berkenaan, Samsudin Oli Mohamed dilantik sebagai Presiden penaja Persatuan Alumni ILKBS bersama sembilan jawatankuasa lain antaranya Naib Presiden Basok Alwi Kalle Mangadji (IKTBN Bachok), Setiausaha Kehormat Muhammad Fahmi Mahyon (IKBN Alor Gajah) dan Bendahari Wan Nor Amirah Wan Hanapi (IKBN Jitra).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 5:03 AM