KERJASAMA mengangkat barang yang dikumpulkan sebelum diserahkan kepada mangsa kebakaran.
KERJASAMA mengangkat barang yang dikumpulkan sebelum diserahkan kepada mangsa kebakaran.
Fazurawati Che Lah

MALAPETAKA yang menimpa ratusan penduduk Kampung Pasir Putih, Putatan Sabah akibat kebakaran, baru-baru ini, terus mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi.

Kejadian jam 12.50 tengah hari menyebabkan 55 rumah di perkampungan itu musnah dalam kebakaran, sekali gus menyebabkan penduduk hilang tempat tinggal.

Simpati dengan nasib yang menimpa mangsa kebakaran itu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut, Sabah berjaya mengumpul bantuan untuk disumbangkan kepada penduduk kampung itu.

Timbalan Pengarah HEP IKBN Kinarut, Himran Entoh berkata, bantuan berupa barangan keperluan dikumpulkan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) institut itu.

Katanya, barangan seperti air mineral, mi, beras, lampin pakai buang, serta pakaian terpakai diserahkan kepada 75 keluarga mangsa.

PELAJAR bersama barangan yang berjaya dikumpulkan. FOTO Aziah Azmee.
PELAJAR bersama barangan yang berjaya dikumpulkan. FOTO Aziah Azmee.

Presiden Alumni Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), Samsudin Oli Mohamed berkata, alumni dari seluruh negara turut mengumpul dana untuk disalurkan kepada Pengerusi Alumni ILKBS Zon Sabah, Nilam Omar Baki.

“Tabung kutipan masih lagi digerakkan dan kami sedang mengumpul barang keperluan harian untuk diagihkan kepada mangsa kebakaran itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran dan Belia ( BPKB) kementerian Belia dan Sukan, Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof memuji langkah Alumni ILKBS, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IKBN Kinarut kerana mengambil tindakan dan langkah segera membantu mangsa kebakaran itu.

“Nilai yang ditunjukkan oleh MPP dan Alumni ILKBS adalah langkah yang harus dipuji kerana mereka bukan belajar kemahiran, tetapi dalam masa sama mempelajari dan menterjemahkan sahsiah dan nilai murni kepada masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 2:42 PM