Nor Amalina Alias


NASIB empat pelajar Sarawak yang terkandas di Kelantan terbela apabila banyak pihak tampil memberi bantuan.

Pelajar itu, Siti Noraziera Ramlee, Betty Bulan Amrose, Lika Doris Anak Guang masing-masing 23 tahun dan Dally Angkang Anak Joseph, 25, yang belajar di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah ditempatkan sementara di IKTBN Bachok sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Siti Noraziera berkata, selain dibantu IKTBN Alor Gajah, IKTBN Bachok dan Alumni Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS), mereka turut menerima bantuan makanan dan wang saku daripada kakitangan IKTBN Bachok dan penduduk sekitar.

Katanya, mereka turut dibekalkan kelengkapan memasak dan dapur oleh Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan IKTB Bachok, Sam Heeza Abdul Samad.

“Ada jemaah masjid dari kampung sekitar datang hantar makanan dan minuman malah kakitangan yang tinggal di kuarters berdekatan juga ambil berat pasal kami.

“Kalau ikutkan hati, memang kami nak minta balik ke kampung tapi tak lepas sebab PKP masih berlangsung. Boleh pulang jika PKP tamat dan kolej dibuka semula. Kami juga kena cari wang tiket kapal terbang untuk balik ke Melaka menyambung pengajian,” katanya ketika ditemui di IKTBN Bachok, di sini.

Siti Noraziera berkata, dia sedih terpaksa menyambut Ramadan tanpa keluarga di sisi namun perlu kuatkan hati.

Rakannya, Betty berkata, ibu bapa tidak perlu risau kerana mereka tinggal di tempat yang selesa dan sudah mempunyai wang saku sepanjang PKP.

Katanya, walaupun tidak dapat pulang namun dia dan rakan faham situasi kerajaan yang tidak membenarkan mereka pulang ke Sarawak atas faktor keselamatan.

“Kami ada ramai lagi rakan yang turut terkandas di tempat latihan industri (LI) seperti di Kuala Lumpur, tidak dapat pulang ke kampus dan kampung halaman. Kami di sini sudah cukup baik kerana banyak pihak bantu,” katanya yang tinggal di Long Teran Tinjar, Baram, Sarawak.

Terdahulu, mereka menerima kunjungan Naib Ketua Puteri Umno Malaysia, Nurul Amal Mohd Fauzi yang hadir menyampaikan bantuan makanan asas seperti beras, gula, minyak dan tepung.

Nurul Amal berkata, pihaknya tidak dapat membantu mereka pulang ke Sarawak kerana perlu mematuhi arahan PKP.

“Mereka tidak akan dibawa pulang bagi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan dan kita juga tidak mahu memberi risiko kepada pelajar ini dijangkiti wabak ketika proses penghantaran pulang.

“Tambahan pula, ribuan lagi pelajar turut terkandas seperti mereka dan kita perlu hadapi ujian ini bersama-sama,” katanya.

Berita berkaitan

IKTBN, ILKBS bantu pelajar terkandas

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 1:22 PM