ZAKARIA (baju batik) bersama alumni IKBN Jitra dan keluarga mereka.
ZAKARIA (baju batik) bersama alumni IKBN Jitra dan keluarga mereka.

Lebih 150 bekas pelajar dan ahli keluarga masing-masing berkumpul pada majlis perjumpaan semula (reunion) di Dewan Ibnu Sina, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, baru-baru ini.

Pengerusi majlis Norida Alias berkata, perjumpaan itu berjaya diadakan walaupun melalui pelbagai rintangan pada peringkat awal.

Ini berikutan bekas pelajar IKBN Jitra berasal dari seluruh negara dan sukar dihubungi.

“Saya berbangga kerana semua rakan tidak mengira tahun dan kursus sentiasa mengharapkan perjumpaan ini dan akhirnya kami berjaya juga.

“Majlis ini turut mendapat sokongan Pengarah IKBN Jitra Zakaria Kasa dan Presiden Persatuan Alumni Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Samsudin Oli Mohamed,” katanya.

Samsudin berbangga dengan usaha dijalankan dan berharap perjumpaan itu bakal membuah­kan hasil dengan penubuhan Alumni IKBN Jitra, seterusnya melantik ahli jawatankuasa bagi merancakkan aktiviti persatuan.

“Bagi saya tinggal jauh dan berkeluarga bukan masalah utama kerana melalui alam maya sekarang, pelbagai usaha boleh dijalankan termasuk bermesyuarat melalui Facebook selain mesyuarat biasa di mana-mana sahaja lokasi,” katanya.

Zakaria pula berbangga dengan usaha seumpama itu dan sentiasa memberi sokongan jika pihak alumni memerlukan bantuan untuk mengadakan perjumpaan atau aktiviti di institut berkenaan.

“Kesepakatan untuk berhimpun kembali bagi mengingati nostalgia di sini bersama keluarga sa­ngat saya kagumi kerana mereka tidak melupakan tempat menuntut ilmu dan berjaya pula dalam bidang masing-masing,” katanya.

Pelbagai acara diadakan sempena perjumpaan itu seperti cabutan nombor bertuah, memotong kek, persembahan tayangan gambar nostalgia ketika menuntut di IKBN itu dan melawat kelas serta bengkel yang sudah berubah wajah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 5:46 AM