Situasi terkini keadaan banjir yng melanda kawasan kampung dan taman ketika tinjauan banjir kilat di Sungai Putat, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Situasi terkini keadaan banjir yng melanda kawasan kampung dan taman ketika tinjauan banjir kilat di Sungai Putat, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Nuraliawati Sabri


Melaka: "Situasi ketika itu mencemaskan dan panik kerana paras air naik dengan cepat selain saya bimbang akan keadaan emak yang sudah uzur.

"Sebaik menyedari kehadiran bomba, saya bergegas meminta bantuan mereka untuk terlebih dahulu menyelamatkan emak kerana air sudah mencecah paras pinggang," kata mangsa banjir dari Kampung Sungai Putat, Saloma Md Said.

Menurut Saloma, 44, sebelum kejadian dia ke tempat kerja untuk mengambil barang sebelum anak saudaranya menghubunginya kira-kira jam 8 pagi memintanya pulang kerana paras air sungai naik mendadak.

"Sedang saya cuba untuk alihkan barang seperti peti ais, almari dan mesin basuh air terus naik dengan mendadak sehingga tiada satu pun dapat dialihkan ke tempat selamat.

"Arus air laju dan saya hanya dapat berdoa supaya kami sekeluarga dilindungi. Dengan air yang sudah paras pinggang saya hanya mampu selamatkan dokumen penting sahaja," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, Batu Berendam, di sini, hari ini.

Menurutnya, sepanjang 18 tahun menetap di kediamannya itu, kejadian banjir kilat pagi hari ini adalah yang paling teruk selepas insiden pada 2004.

Sementara itu, bagi seorang lagi mangsa banjir, Hazman Mohd Dom, 60, berkata, jangkaan kediaman mereka akan dinaiki air tepat apabila dia dimaklumkan anaknya kira-kira jam 8 pagi.

Kata pesara kerajaan itu, kejadian banjir kilat hari ini adalah yang pertama berlaku membabitkan kediamannya sepanjang 21 tahun menetap di situ sehingga terpaksa berpindah ke PPS.

"Sebelum ini air akan melimpah di kawasan laman dan beranda rumah tetapi sebaliknya berlaku pagi ini.

"Dengan keadaan bertongkat disebabkan keadaan kaki yang sakit saya bersama isteri dan dua anak bergegas keluar serta hanya sempat mencapai beg sandang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 5:26 PM