POLIS mengguna penyembur lada untuk menyuraikan penunjuk perasaan, selang beberapa jalan dari tempat Trump mengangkat sumpah. - AFP
POLIS mengguna penyembur lada untuk menyuraikan penunjuk perasaan, selang beberapa jalan dari tempat Trump mengangkat sumpah. - AFP
Agensi

Washington DC: Tunjuk perasaan ganas meletus di sini selepas Donald Trump mengangkat sumpah menjadi presiden ke-45 Amerika Syarikat, semalam.

Gambar yang dimuat naik di media sosial menunjukkan aktivis anti-Trump berarak di jalan raya, memecahkan tingkap premis perniagaan, membakar kereta dan melambakkan tong sampah di tengah jalan.

Mereka juga bertempur dengan polis selepas berusaha menghalang penyokong bilionair hartanah dari parti Republikan itu memasuki National Mall untuk menyaksikan majlis angkat sumpah itu.

Sebahagian daripada penunjuk perasaan yang bersekutu dengan kumpulan yang menggelar diri mereka ‘Disrupt J20’ ditahan polis.

Nama ‘Disrupt J20’ itu diambil sempena tarikh pelantikan - Januari 20.

Sementara itu sekumpulan 150 penunjuk perasaan berpakaian serba hitam, sebahagiannya juga memakai topeng, berarak di tengah bandar.

Tidak jauh dari laluan perarakan selepas majlis itu, satu lagi kekecohan berlaku, menyaksikan polis terpaksa menggunakan penyembur lada dan bom pegun untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Sebuah limosin juga dilihat dibakar di kawasan berkenaan. Polis berkata, lebih 200 orang ditahan kerana vandalism.

Demonstrasi membantah Trump juga diadakan di beberapa bandar lain di Amerika Syarikat.

Di Seattle, seorang lelaki ditembak di perut ketika tunjuk perasaan diadakan di depan Universiti Washington.

Sementara itu, tunjuk perasaan diadakan di beberapa negara sebagai reaksi kepada pelantikan Trump.

Di Sydney dan Melbourne, Australia, ribuan penunjuk perasaan berarak untuk membantah dasar yang akan dilakukan presiden baru Amerika Syarikat itu. Di Auckland, New Zeakland, tunjuk perasaan sama turut diadaan.

Ia sebahagian daripada 600 demonstrasi yang dirancang diadakan di seluruh dunia bagi mempertahankan hak wanita dan menentang dasar diskriminasi dan prejudis presiden baru Amerika Syarikat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 5:11 AM