Oleh Mohd Firdaus Ibrahim


Kuala Lumpur: Seorang anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berusia 27 tahun putus tangan kanan selepas diserang 10 lelaki bersenjatakan parang dan kayu dalam kejadian di sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang.

Dalam kejadian kira-kira 2.50 pagi tadi, mangsa yang bersendirian di kawasan premis berkenaan diserang kumpulan terbabit yang dipercayai mahu membalas dendam.

Menurut sumber, kumpulan terbabit menyerang mangsa kerana tidak berpuas hati terhadap insiden pergaduhan yang berlaku pada 24 Disember lalu di kawasan sama.

"Kira-kira 2.30 pagi 24 Disember lalu itu, mangsa dibantu beberapa pengawal keselamatan pusat hiburan berkenaan dilapor memukul seorang lelaki berusia 30-an selepas berlaku pertengkaran.

"Pergaduhan antara mereka tercetus apabila seorang lelaki yang menaiki motosikal melanggar kereta dinaiki anggota polis terbabit," katanya.

Sumber berkata, selepas dipukul, lelaki terbabit melarikan diri sebelum membawa beberapa rakannya menjerit di hadapan premis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 6:06 PM