DR Adham (tengah) bersama  Pengarah Urusan Microsoft  K Raman (kiri) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke. - Gambar NSTP/AMIRUDIN SAHIB
DR Adham (tengah) bersama Pengarah Urusan Microsoft K Raman (kiri) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke. - Gambar NSTP/AMIRUDIN SAHIB

AGENSI di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) menandatangani memorandum persefahaman dengan Microsoft Malaysia bagi membangunkan ekosistem syarikat pemula di negara ini.

Menteri Mosti, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pihaknya percaya kolaborasi itu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan pembangunan yang lebih giat buat syarikat pemula di Malaysia.

"Kerjasama ini bukan sekadar menyediakan akses kepada teknologi digital kepada usahawan, malah memastikan daya tahan ekonomi, kemahiran dan pengetahuan digital dapat dikuasai selain menyediakan persekitaran digital yang dipercayai agar perniagaan dapat berkembang maju.

"Ini selari dengan hasrat kerajaan memperkasa ekosistem teknologi di Malaysia, selain menjadi peneraju ekosistem start-up menjelang 2030 seterusnya mencapai pembangunan sosio-ekonomi yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan," katanya dalam ucap tama majlis menandatangani MoU antara Cradle dan Microsoft Malaysia di sini semalam.

Menerusi MoU berkenaan, Cradle akan bekerjasama dalam program Microsoft for Startups Founders Hub bagi menyediakan peluang meningkatkan kemahiran, memberi panduan dari segi teknikal serta menyediakan capaian kepada Microsoft Mentor Network buat syarikat pemula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 7:00 AM