Sunil Rastogi ketika dibawa keluar dari balai polis. - Foto NDTV
Sunil Rastogi ketika dibawa keluar dari balai polis. - Foto NDTV
Agensi

New Delhi: Seorang tukang jahit kerana disyaki melakukan serangan seksual terhadap budak perempuan, termasuk merogol dan mencabul, mengakui melakukan atau cuba melakukan jenayah itu terhadap sekurang-kurangnya 100 mangsa dengan polis sudah merekodkan lapan kes.

Sunil Rastogi, 38, dari bandar raya ini ditahan Sabtu lalu, berikutan aduan daripada mangsa serta hasil penelitian rakaman CCTV.

Menurut India Today, polis mengenal pasti Sunil melalui rakaman CCTV ketika menyiasat kes rogol seorang budak perempuan berusia tujuh tahun di New Ashok Nagar pada 10 Januari lalu.

Media India melaporkan sepanjang 12 tahun lalu, kira-kira 500 kanak-kanak menjadi mangsa lelaki itu termasuk di Uttar Pradesh, Uttarakhand dan New Delhi.

AFP melaporkan, Timbalan Pesuruhjaya Polis, Omvir Singh Bishnoi, berkata lelaki itu sering ke New Delhi dari rumahnya di Uttarakhand, utara India, dan mensasarkan budak perempuan ketika mereka pulang dari sekolah.

“Dia mengikut mereka, memilih seorang sebagai mangsa sebelum memulakan perbualan kononnya mengenali bapa mangsa. Dia kemudian membawa budak perempuan itu ke tempat sunyi.

Dia mengaku cuba melakukan jenayah itu terhadap lebih 100 mangsa sejak 2004 dan setakat ini, kami sudah memfailkan lapan kes,” katanya.

Ketika dibawa keluar dari balai polis dengan bergari, Suni berkata: “Saya melakukan ini sejak empat, lima tahun lalu.

“Saya tak tahu kenapa saya melakukannya.”

Menurut polis, mereka menerima laporan mengenai penculikan dan rogol budak perempuan bawah umur di New Delhi sejak dua bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 6:05 PM