Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Semakin banyak syarikat Malaysia mengguna pakai model perniagaan baru berteraskan faktor kelestarian atau alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang mampu memberikan pulangan pelaburan lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) Datuk Seri Tajuddin Atan berkata, kebanyakan perniagaan, pelabur dan kerajaan kini mencapai kemajuan besar dalam menangani risiko kelestarian di samping memanfaatkan peluang yang ada.

Beliau berkata, kebanyakan syarikat kini dilihat komited mencapai aspek kelestarian melalui peningkatan usaha dan kerjasama dalam sektor seperti tenaga diperbaharui, perlindungan hak manusia serta rangkaian bekalan.

Menurutnya, pelabur kini lebih berpengetahuan dan semakin menyedari faktor kelestarian atau ESG boleh diterjemahkan menjadi pulangan pelaburan tinggi di samping menyepadukan pertimbangan bukan kewangan masing-masing.

“Institusi pelaburan tempatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) juga mempertimbangkan faktor ESG sebagai sebahagian proses membuat keputusan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Kelestarian untuk Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif, di sini, semalam.

Forum kali pertama anjuran Bursa Malaysia bertemakan ‘Pacuan Perubahan Global dan Kelestarian - Model Perniagaan Baru’ itu membincangkan mengenai pembangunan kelestarian dalam perniagaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Tajuddin berkata, Bursa Malaysia turut memfokus kepada aspek kelestarian dengan menjadikannya sebagai perkara utama dalam pasaran modal Malaysia bagi mengekalkan daya saing dan tarikan dalam pasaran modal tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 7:55 AM