POLISI terbaharu akan membimbing KWSP untuk membuat keputusan yang lebih termaklum dan holistik.
POLISI terbaharu akan membimbing KWSP untuk membuat keputusan yang lebih termaklum dan holistik.

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyasar untuk menjadikan semua pelaburannya berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menjelang 2030 melalui pelaksanaan Polisi Pelaburan Mampan, Polisi Isu Keutamaan dan Polisi Sektor Keutamaan.

Dana persaraan terbesar Malaysia itu yakin polisi terbaharu itu akan membimbing KWSP untuk membuat keputusan yang lebih termaklum dan holistik dengan mengintegrasikan faktor ESG ke dalam proses pengurusan pelaburan, sekali gus memberikan semula pulangan kepada ahli.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, polisi pelaburan mampan itu menandakan evolusi status KWSP daripada pelabur beretika kepada pelabur mampan dalam usahanya untuk patuh ESG sepenuhnya pada 2030 dan neutral karbon pada 2050.

Beliau berkata, KWSP berpendapat bahawa isu ESG dalam konteks amalan perniagaan kian kritikal kerana ia memberi gambaran terhadap tahap risiko dan peluang sesebuah perniagaan yang lebih menyeluruh, serta skala kesan positif dan negatif terhadap masyarakat.

Katanya, dengan peningkatan dalam kesedaran mengenai kelestarian dan aktivisme pemegang saham di peringkat global, pasaran modal Malaysia menyaksikan isu ESG memberi kesan kepada syarikat penerima pelaburan domestik.

Justeru, katanya, adalah penting bagi pelabur institusi untuk memainkan peranan pengawasan yang berkesan dalam memacu dan meningkatkan piawaian agenda ESG dalam pasaran modal Malaysia.

"Pendekatan pengurusan KWSP menekankan pembabitan aktif secara berperingkat ke arah penambahbaikan. Sebagai dana terbesar di Malaysia, matlamat KWSP adalah untuk membawa syarikat dalam perjalanan kelestarian dan menyokong pembangunan negara secara keseluruhan.

"Ini juga sejajar dengan visi KWSP iaitu membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik kerana meningkatkan piawaian kelestarian syarikat juga akan membawa kepada peningkatan kualiti hidup ahli," katanya selepas majlis pelancaran Polisi Pelaburan Mampan KWSP, semalam.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut hadir, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

Amir Hamzah berkata, bagi menyediakan garis panduan yang komprehensif kepada syarikat penerima pelaburan dan pengurus dana dalam mengintegrasikan ESG ke dalam proses mereka, KWSP membangunkan Polisi Pelaburan Lestari sendiri.

Katanya, ia ditambah dengan Polisi Isu Perubahan Iklim dan Kesejahteraan Pekerja serta enam Sektor Keutamaan merangkumi minyak sawit, minyak dan gas, perlombongan, penjanaan kuasa, perbankan serta pembinaan.

"Bagaimanapun pelaksanaan terbaharu KWSP ini hanyalah langkah permulaan kerana lebih banyak lagi yang perlu dilaksanakan melalui pelaburan, tenaga kerja dan rangkaian pekerja," katanya

Sementara itu, Ahmad Badri berkata, berdasarkan kedudukan KWSP sebagai dana persaraan terbesar dan utama negara, adalah penting menggabungkan faktor ESG dalam penilaian prestasi syarikat pelaburan dan amalan perniagaannya.

Beliau berkata, dengan mempertimbangkan risiko dan peluang di luar prestasi kewangan, KWSP akan berada pada kedudukan yang baik untuk membuat keputusan pelaburan holistik yang lebih cergas, sekali gus memelihara pulangan jangka panjang ahli dan menyumbang kepada ekosistem kemampanan yang lebih luas.

Tengku Zafrul dalam ucapannya pula berkata, tumpuan kepada elemen berasaskan amalan ESG adalah penting ketika ini bagi memastikan Malaysia dapat mencapai pertumbuhan yang mampan pasca pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 7:01 AM