TENGKU Zafrul
TENGKU Zafrul

SYARIKAT di Malaysia harus membentuk pelaksanaan tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) supaya tidak kehilangan peluang akses kepada modal, terutamanya apabila aset ESG dijangka mampu mencecah AS$53 trilion menjelang 2025.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selain nilai aset ESG yang besar, pelabur institusi juga membawa pengaruh kolektif yang berkembang dengan nilai hampir RM2.2 trilion aset di bawah pengurusan, dan kira-kira RM750 bilion dalam bursa saham tempatan.

"Berikutan saiz dan kapasiti organisasi yang besar, pelabur institusi boleh dan mesti memainkan peranan penting untuk memacu pengawasan yang berkesan dan membabitkan diri secara aktif dengan syarikat pelaburan atau portfolio mereka.

"Bukan sahaja untuk kepentingan pulangan, tetapi juga berdasarkan prinsip ESG. Kita mesti memulakan perjalanan ini bersama, jika ingin mencapai kemakmuran yang luas dan bermakna untuk semua peringkat.

"Tadbir urus korporat yang berkesan adalah alat penting dalam ESG untuk membantu memastikan dasar, proses dan struktur yang sesuai disediakan untuk perniagaan kekal berdaya saing dan mampan dalam jangka masa panjang," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Tadbir Urus Korporat Majlis Pelabur Institusi Malaysia (IIC)-Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) 2022, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.

Tengku Zafrul berkata, pihaknya juga menekankan supaya perniagaan atau syarikat yang lebih kecil dalam usaha melaksanakan ESG disokong dan dibantu.

"Saya mengatakan ini kerana syarikat yang lebih kecil mempunyai sumber dan kapasiti terhad menghadapi cabaran ke arah ESG dan oleh itu, mungkin mereka menghadapi beban yang tidak seimbang dan melaporkan pendedahan yang lebih sedikit berbanding syarikat yang bermodal besar.

"Cabaran ini tidak boleh dipandang remeh, kerana ia mengurangkan potensi pertumbuhan mereka (syarikat kecil) dan menjejaskan perjalanan kemampanan secara keseluruhan," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut melancarkan Kod Pelabur Institusi Malaysia (MCII) 2022 yang disemak semula menggantikan MCII pertama yang diterbitkan pada 2014.

Ia terdiri daripada enam prinsip asal serta satu prinsip baharu, di samping memperkenalkan bahagian baharu bertajuk Stewardship Spotlight.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 7:01 AM