NAJMUDDIN (kanan) bersama Karageorgiou (kiri) dan Khairul pada pelancaran dana BIMB-Arabesque Malaysia Shariah ESG, semalam.
NAJMUDDIN (kanan) bersama Karageorgiou (kiri) dan Khairul pada pelancaran dana BIMB-Arabesque Malaysia Shariah ESG, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: BIMB Investment Management Berhad (BIMB Invest) merancang mengumpul RM100 juta melalui pelancaran dana terbarunya, BIMB-Arabesque Malaysia Shariah-ESG Equity Fund dalam tempoh 12 bulan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Najmuddin Mohd Lutfi berkata, dana itu sesuai untuk pelabur yang mahukan pendedahan kepada saham Malaysia yang patuh syariah serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) termasuk peningkatan modal dalam jangka sederhana hingga panjang.

“Dana ini akan melabur dalam ekuiti tersenarai dengan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada portfolio diperuntukkan kepada syarikat Malaysia manakala 30 peratus lagi syarikat asing,” katanya pada majlis pelancaran dana itu di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi BIMB Invest Khairul Kamarudin dan Rakan Arabesque Asset Management Holding Ltd UK, Gabriel Karageorgiou.

Dana itu bermatlamat meningkatkan pulangan pelaburan mengatasi penanda aras dengan menggabungkan data kemampanan utama (ESG) melalui penggunaan teknologi kecerdasan.

Beliau berkata, BIMB menyusun semula proses pelaburan dan strateginya menggunakan teknologi kewangan dalam membina dan mengurus portfolio dana di samping menyepadukan nilai syariah dan prinsip ESG dalam proses dan falsafah pelaburannya.

“Kami menetapkan kedudukan sebagai pengurus dana patuh syariah dan ESG tempatan dengan kerjasama Arabesque Partners yang menawarkan penyelesaian pengurusan pelaburan generasi baru yang telus, pengurusan risiko teguh dan prestasi pelaburan mampan.

“Ia terbukti di mana aset di bawah pengurusan (AUM) BIMB Invest dilihat meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 12.54 peratus dengan AUM semasa RM1.1 bilion,” katanya.

Dana itu ditawarkan untuk langganan dalam Ringgit Malaysia, Dolar Amerika Syarikat, Euro dan Dolar Singapura pada harga 0.25 bagi setiap unit untuk 21 hari tempoh tawaran awal bermula 9 hingga 29 Mac ini.

Ia boleh melabur sehingga 100 saham dengan pelaburan minimum 500 untuk semua mata wang kecuali Euro 50 pada harga 25 sen seunit dan boleh mula didapati di 145 cawangan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) seluruh negara dan perunding pelaburan BIMB Invest.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 8:40 AM