LAPORAN Harian Metro hari ini
LAPORAN Harian Metro hari ini
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Identiti lelaki meninggal dunia ketika mendaki di Gunung Baling, hari ini dikenal pasti sebagai Syakenal Firdaus Yusof, 41.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa dipercayai menetap di Taman Pertama, Pokok Sena di Alor Setar dan bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Alor Setar.

Menurutnya, panggilan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling diterima pada jam 12.30 tengah hari berhubung seorang lelaki dipercayai sesak nafas ketika menuruni Gunung Baling.

"Susulan laporan itu, pegawai dan anggota polis hadir ke lokasi kejadian dan dimaklumkan pekerja Gunung Baling yang pihak BBP Baling serta malim gunung sudah bergerak ke atas gunung berkenaan untuk memberi bantuan dan proses menyelamat.

"Hasil siasatan awal dan temubual dengan rakan mangsa yang berusia 26 tahun mendapati, kedua-dua mereka datang dari Pokok Sena di Alor Setar dengan menaiki kereta mangsa.

"Mereka mula mendaki pada jam 8 pagi sebelum sampai ke puncak gunung Baling pada jam 9.40 pagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, ketika itu keadaan kesihatan mangsa baik namun pada jam 10 pagi, mereka berdua mula hendak turun ke kaki gunung.

"Namun sebaik sampai di aras 1,200 meter dari kaki gunung, mangsa mengadu sesak nafas dan kira-kira 10 minit kemudian, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri dan dipercayai pengsan.

"Berikutan rakan mangsa kemudian meminta bantuan dari pendaki yang ketika itu ada bersama mereka untuk memberi bantuan rawatan awal namun tiada tindak balas pada mangsa.

"Rakan mangsa kemudian menghubungi kaunter pendaftaran pendakian Gunung Baling untuk meminta bantuan.

"Kira-kira 45 minit kemudian, Bomba seramai lapan orang bersama tiga orang penunjuk arah tiba di lokasi kejadian dan melakukan proses menyelamatkan mangsa namun tiada tindak balas dan sudah kaku," katanya.

Shamsudin berkata, mangsa dibawa turun dan tiba di kaki gunung pada jam 2.45 petang.

"Pihak pegawai perubatan Hospital Baling yang melakukan pemeriksaan terhadap mangsa mendapati lelaki itu disahkan meninggal dunia.

"Mayat mangsa kemudian dibawa dari Hospital Kulim untuk bedah siasat bagi mengetahui sebab kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika dalam perjalanan turun dari puncak Gunung Baling di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 10:36 PM