TUDUNG perlu sesuai mengikut bentuk wajah.
TUDUNG perlu sesuai mengikut bentuk wajah.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Pemilihan jenis tudung atau selendang yang bersesuaian mengikut bentuk wajah antara elemen paling utama yang tidak boleh dipandang ringan bagi memastikan penampilan tidak kelihatan janggal.

Berikut beberapa panduan bagi memastikan tudung dan selendang yang anda gayakan itu sesuai dengan bentuk wajah anda:

* Wajah bujur

Wanita yang memiliki bentuk wajah bujur bebas memilih sebarang gaya tudung. Jika anda penggemar selendang, anda boleh memakai apa juga jenis selendang sama ada daripada fabrik kapas, sifon atau net, begitu juga dengan tudung siap atau jenis Syria.

* Wajah berpetak

Bentuk muka ini lebih lebar di antara pelipis manakala tulang rahang dapat dilihat dengan jelas, namun bahagian dagu kelihatan samar.

Apabila mengenakan tudung, pastikan tulang rahang disembunyikan di sebalik tudung. Gunakan anak tudung supaya kesan bentuk wajah nampak memanjang.

Jika ingin memakai selendang, perlu bijak menggayakannya. Elakkan gaya ikatan Bienda atau ikatan di belakang tengkuk kerana gaya ini tidak mampu menyembunyikan bahagian tulang rahang yang lebar. Pilih gaya selendang yang menjurus kepada lilitan dan menutup rahang.

* Wajah panjang

Antara ciri bentuk muka ini ialah dagu yang panjang namun bezanya, bentuk kening yang lonjong dan lebih tinggi dengan jarak pelipis yang sama dengan jarak rahang. Bagi mengurangkan kedudukan kening yang tinggi, disarankan menggunakan anak tudung yang kedudukannya diletakkan ke bawah sedikit sehingga menutup bahagian kening.

Disarankan penggunaan anak tudung Syria bersama selendang kerana ia dapat membantu menutup sedikit bahagian kening yang tinggi. Seperti mereka yang mempunyai bentuk muka bujur, semua jenis selendang sesuai digayakan.

* Wajah segi tiga

Ciri utamanya ialah dagu panjang ditambah dengan jarak pelipis yang lebih lebar dibandingkan pangkal rahang. Gunakan tudung yang ditarik sejauh mungkin ke belakang dan bertemu di tengkuk supaya bahagian rahang nampak terbuka.

Untuk mengisi bahagian yang kosong di sebelah kiri dan kanan telinga, disaran menggunakan anak tudung seperti net. Bagi membolehkan bahagian kening terangkat, gunakan cekak lembut sebelum menggunakan anak tudung.

Penggunaan selendang bukan satu masalah kerana mereka menghampiri bentuk muka bujur tetapi pastikan cara pemakaian selendang dapat menutup kekurangan wajah. Paling sesuai ialah gaya pintalan atau sanggul kerana ia dapat membuatkan bahagian rahang tampak lebih terbuka.

* Wajah bulat

Pemilik wajah ini disaran menggunakan cekak lembut terlebih dulu sebelum memakai anak tudung. Pilih anak tudung diperbuat daripada bahan lebih anjal supaya ukuran kepala tidak kelihatan bertambah.

Pilih selendang daripada fabrik nipis supaya ukuran kepala tidak terlalu menyerlah. Selendang nipis atau mini sangat sesuai, namun disaran menggunakan anak tudung bawal sebelum mengenakannya supaya bentuk muka kelihatan bujur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 8:51 PM