ALAS tudung direka bantu tingkatkan keyakinan untuk bergaya.
ALAS tudung direka bantu tingkatkan keyakinan untuk bergaya.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Seiring perkembangan pesat industri pakai­an Muslimah di negara ini, penghasilan tudung juga mengalami revolusinya tersendiri malah tidak dinafikan fesyen tudung menjadi antara perkara yang dititikberatkan pemakai selain memenuhi tuntutan agama.

Pengguna mempunyai pelbagai pilihan, daripada selendang, pakaian dan pelengkap Muslimah malah mereka kini bijak memilih apa yang sesuai serta lebih suka kepada konsep pantas dan mudah digayakan.

Pemakaian tudung atau selendang kini semakin mudah kerana pereka semakin bijak menyesuaikan rekaan dengan keperluan seseorang Muslimah.

Bagaimanapun, tidak ramai pengusaha yang tampil dengan rekaan tudung yang mampu melindungi kekurangan pada bentuk wajah wanita terutama mereka yang berwajah bulat membuatkan golongan ini tidak berkeyakinan untuk tampil di khalayak ramai dengan pelbagai fe­syen terkini.

Justeru, pengasas butik Anizon, Anizon Hussin mengilhamkan tudung alas AnizonInner (AI) dan alas leher AnizonInnerNeck (AIN) khusus buat mereka yang berwajah bulat kelihatan bujur dan kecil.

Katanya, bersesuaian dengan slogan butik itu Bulat Ku Bujurkan, AIN dan AI direka khas untuk wanita berkerjaya yang berasa kurang berkeyakinan mengenakan pelbagai gaya tudung atau selendang kerana memiliki wajah yang bulat.

“AIN dan AI adalah alas tudung yang akan membantu meningkat­kan keyakinan mereka untuk bergaya. Dengan keyakinan dari wajah yang bujur, mereka akan kelihatan lebih profesional dalam kerjaya dan selesa ketika bersama keluarga melakukan aktiviti di luar.

“Kedua-dua alas ini juga membantu memudahkan wanita untuk menggayakan selendang. Penggayaan tudung lebih mudah, cepat dan pantas, malah lebih penting tidak memerlukan banyak kerongsang dan jarum peniti untuk menggayakan tudung,” katanya.

Selain alas tudung, butik yang ditubuhkan pada 2010 itu turut mengeluarkan beberapa jenis selendang Syria dan selendang kapas bergred premium yang diimport terus dari Korea.

Selain penjualan runcit, produk Anizon juga dipasarkan secara borong dan sehingga kini, Anizon mempunyai stokis dan ejen di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

Bagi melindungi hak cipta rekaan alas tudung Anizon, ia didaftar dan dipatenkan di bawah Perbadanan Harta Intelek.

Anizon berkata, keistimewaan produknya terletak pada rekaan yang mampu menjadikan wajah tampak lebih bujur manakala wajah yang lebar kelihatan kecil.

Di samping itu, AIN dan AI dapat menyembunyikan dagu berlapis dan sesuai dengan semua bentuk wajah. Apa yang penting alas tudung keluaran syarikatnya mempu­nyai penutup yang boleh digunakan sebagai anak tudung solat. Fabrik kapas digunakan mampu menyerap peluh dan memberi keselesaan dalam berhijab walaupun cuaca panas.

Menyingkap pengalamannya berkecimpung dalam industri fesyen Muslimah, Anizon berkata, idea menghasilkan produk itu bermula lima tahun lalu ketika penggunaan alas tudung sa­ngat popular dan ketika itu tiada alas tudung yang dapat membantu wajah kelihatan lebih bujur.

Kebanyakan rekaan alas tudung yang ada di pasaran, direka melekap pada wajah dan menampakkan wajah lebih kembang dan bulat.

“Justeru, saya mengambil peluang ini mengeluarkan alas tudung yang apabila disarungkan wajah kelihatan bujur. Rekaan ini diilhamkan dari alas tudung berenang dan tudung umrah. Lebih menarik, alas tudung kami mempunyai penutup dagu,” katanya.

Ciri yang terdapat pada AIN ialah menutupi leher, saiz sesuai semua golongan dan menjadi pilihan bagi digayakan bersama tudung jarang serta boleh dipakai untuk semua aktiviti seperti bersenam, berenang dan sebagainya.

Manakala rekaan AI yang labuhnya separas dada sesuai digayakan bersama selendang sifon yang lembut sebagai ‘sengkuap’ selendang selain boleh digunakan sebagai anak tudung untuk solat.

“Lebih 20 warna pilihan untuk kedua-dua produk ini dan kami hanya memilih fabrik yang berkualiti. Fabrik yang menyerap peluh, tidak terlalu lembut, dan tebal.

“Fabrik yang digunakan ini juga lebih ‘memeri’ supaya ia tidak terlalu ketat apabila dipakai. Harga kedua-dua jenis alas tudung ini bermula dari RM29,” katanya.

Semua produk ini boleh didapati melalui laman web www.anizoninnerneck.com atau di bilik pameran di 10A, Tingkat 1, Blok 4, Jalan Karate 13/47, Worldwide Business Centre, Seksyen 13, 404675, Shah Alam, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 10:23 AM