KRU ekspedisi berusaha merakamkan pergerakan burung sebaik mungkin.
KRU ekspedisi berusaha merakamkan pergerakan burung sebaik mungkin.
PESERTA perlu bersabar untuk mendapatkan kedudukan terbaik burung berkenaan.
PESERTA perlu bersabar untuk mendapatkan kedudukan terbaik burung berkenaan.
Mohd Amin Jalil


Taman Alam Liar Negeri Lembah Jemaloi di kawasan Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu, Negeri Sembilan memiliki keindahan dan kepelbagaian flora serta fauna mengagumkan.

Selain memiliki keindahan alam semula jadi, tidak ramai yang mengetahui taman alam berkenaan juga mempunyai pelbagai spesies burung unik dan tidak terdapat di sesetengah hutan simpan di negeri lain.

Bagaimanapun, melalui satu ekspedisi yang diadakan Lembaga Pelanco­ngan Negeri Sembilan (LPNS) di taman alam terbabit, baru-baru ini, menyerlahkan keunikan dan keindahan flora serta fauna di situ.

Sebanyak 115 spesies burung berjaya direkodkan sepanjang dua hari penganjuran Ekspedisi Burung 2016 di hutan itu.

Ekspedisi itu menggabungkan tiga kumpulan iaitu Kumpulan Pemerhati Burung, Kumpulan Fotografi Burung dan Kumpulan Sukarelawan.

Menariknya ekspedisi itu antara pertama kali diadakan di negara ini yang menggabungkan Kumpulan Permerhati Burung dan Kumpulan Fotografi Burung.

Perkara itu diakui pakar berkaitan burung iaitu Andrew J Sebastian yang juga Presiden Eko.My.

Pengurus Besar LPNS Baharudin Jali berkata, ekspedisi yang diadakan julung kali itu juga bertujuan me­ngenal pasti spesies burung di kawasan hutan berkenaan.

Katanya, pihaknya bekerjasama dengan Eko.My dalam usaha mengumpul data berkaitan burung yang terdapat di dalam Hutan Simpan Kenaboi.

“Pihak kami sedang berusaha mewujudkan pakej berkaitan Pakej Melihat Burung yang kini mendapat permintaan memberangsang­kan daripada pelancong dalam dan luar negara.

“Justeru, melalui data yang diperolehi hasil ekspedisi ini dapat membantu LPNS mengenal pasti spesies burung yang terdapat di hutan simpan ini sekali gus boleh dieksploitasikan sebagai produk pelancongan pada masa depan.

“Malah, melalui potensi yang terdapat di sekitar kawasan ini pastinya memberi impak positif berkaitan ekonomi di sekitar masyarakat setempat,” katanya.

Baharuddin yakin, taman alam liar itu berpotensi untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan baru berasaskan pakej melihat burung selain elemen semula jadi yang lain dan sudah diketengahkan sebelum ini.

“Saya berharap, usaha ini membuahkan hasil dalam meletakkan Taman Alam Liar Negeri Lembah Jemaloi sebagai lokasi pelancongan menarik suatu hari nanti terutama dari segi keindahan spesies burung,” katanya.

Sebastian pula berkata, taman berkenaan berpotensi menjadi hab kepada peminat dan penyelidik yang meminati untuk menjalankan kajian atau menjalankan aktiviti rekreasi.

Menurutnya, hasil pe­ngamatannya selama 24 jam, pelbagai spesies yang menjadi kegilaan peminat burung dapat dilihat di situ seperti rhinohornbill, rufous woodpaker, halycon smyrnensis dan merops viridis.

“Banyak lagi spesies burung yang ditemui di sini menjadikan satu keunikkan hutan di negeri ini.

“Data yang diperoleh ini direkodkan bagi tujuan kajian akan datang. Kami daripada persatuan mengharap­kan kerajaan negeri dapat melindungi hutan simpan ini kerana ia antara sumber yang kaya dengan flora dan fauna, malah boleh diibaratkan syurga kepada peminat burung dari dalam serta luar negara,” katanya.

Lembah Jemaloi adalah kawasan tadahan air yang penting untuk komuniti di hiliran yang majoritinya terdiri daripada Orang Asli dengan terdapatnya tiga perkampungan masyarakat itu iaitu Kampung Tohor, Kampung London dan Kampung Bertam.

Pengunjung boleh menaiki kenderaan sendiri, teksi atau bas hingga ke Pekan Kuala Klawang dan hanya kenderaan 4x4 saja boleh memasuki kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 5:01 AM