GUNUNG  Jerai miliki spesies jarang ditemui termasuk enggang badak.
GUNUNG Jerai miliki spesies jarang ditemui termasuk enggang badak.
Nur Syazwana Mansor


Yan: Aktiviti mendaki Gunung Jerai memberi peluang kepada pendaki untuk mendekati alam semula jadi terutama keindahan flora dan fauna unik yang terdapat di Hutan Simpan Gunung Jerai.

Presiden Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan (REKEY) yang menyediakan perkhidmatan juru pandu arah untuk mendaki ke puncak Gunung Jerai, Mohamad Firdaus Mohamad berkata, terdapat lapan laluan denai tetap yang diiktiraf Jabatan Perhutanan Negeri Kedah untuk digunakan pendaki bagi mendaki sehingga ke puncak Gunung Jerai.

Katanya, di setiap lapan laluan itu, pendaki berpeluang melihat pelbagai spesies flora yang unik dan jika bertuah mereka juga boleh terserempak spesies fauna yang jarang ditemui seperti burung enggang badak yang sukar dipercayai dapat ditemui di kawasan hutan simpan itu.

“Memang terdapat banyak spesies flora yang boleh dilihat di sepanjang laluan mendaki Gunung Jerai.

“Selain itu, saya bersama sekumpulan pendaki pernah beberapa kali melihat burung Enggang Badak ketika melakukan aktiviti pendakian.

“Syaratnya, kumpulan pendaki terbabit mesti kumpulan yang tidak membuat bising kerana bunyi bising akan membuatkan spesies fauna bersembunyi,” katanya.

Selain pokok besar, pendaki Gunung Jerai juga berpeluang melihat pelbagai jenis pokok orkid dan tumbuhan spesies periuk kera.

“Tumbuhan orkid ini biasanya ditemui selepas mendaki pada ketinggian 900 meter, pihak kami akan beri sedikit penerangan kepada pendaki bagi menambah pengetahuan mereka mengenai flora di Gunung Jerai,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden REKEY yang juga pemandu pelancong berlesen di Daerah Yan, Muhammad Ali Sobri berkata, terdapat tiga spesies tumbuhan unik dan dominan di Gunung Jerai yang dapat dilihat sepanjang laluan mendaki ke puncak.

Menurutnya, tiga spesies tumbuhan itu adalah pokok spesies kelat (Sygyzium), pokok damar minyak (Agathis bomeensis) dan pokok mengkuang atau nama tempatannya digelar Mengkuang Kipas Sulaiman.

“Tiga jenis ini tumbuhan dominan yang boleh dilihat ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Jerai.

“Pokok spesies kelat boleh dilihat di sekitar laluan pendakian Sri Perigi, batang pokoknya yang berwarna merah menjadikan pemandangan di kawasan terbabit nampak luar biasa berbanding kawasan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 7:25 AM