DEWAN utama di UUM, Dewan Muazam Shah dikelilingi tumbuhan menghijau dan pokok hiasan.
DEWAN utama di UUM, Dewan Muazam Shah dikelilingi tumbuhan menghijau dan pokok hiasan.
TASIK Botani dijaga rapi.
TASIK Botani dijaga rapi.
PUSAT Ekuine memberi peluang kepada pelajar dan kakitangan menyertai riadah berkuda.
PUSAT Ekuine memberi peluang kepada pelajar dan kakitangan menyertai riadah berkuda.
KOLAM itik sering menjadi tumpuan warga kampus.
KOLAM itik sering menjadi tumpuan warga kampus.
DR Mohamed (kanan) meninjau tasik yang menjadi lokasi riadah air warga kampus.
DR Mohamed (kanan) meninjau tasik yang menjadi lokasi riadah air warga kampus.
POKOK sintok yang terdapat di kampus UUM, asal nama Sintok yang menjadi tapak universiti itu.
POKOK sintok yang terdapat di kampus UUM, asal nama Sintok yang menjadi tapak universiti itu.
DR Mohamed merakamkan gambar kenangan bersama kakitangan UUM di depan ‘pokok tiga beradik’, antara khazanah alam yang masih terdapat di Sintok.
DR Mohamed merakamkan gambar kenangan bersama kakitangan UUM di depan ‘pokok tiga beradik’, antara khazanah alam yang masih terdapat di Sintok.
Oleh Nordiana Shafiee

rencana @hmetro.com.my

Mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah, pasti teruja melihat suasana di kampus itu.

Walaupun lebih dikenali sebagai gedung ilmu, persekitaran kampusnya bagaikan pusat rekreasi kerana selain dipenuhi pelbagai spesies tumbuhan menghijau, kewujudan beberapa tasik mengindahkan lagi suasana.

Itu belum termasuk kawasan hutan yang terus dipelihara tanpa sebarang projek pembangunan.

Tidak hairanlah UUM yang tahun lalu disenaraikan buat pertama kali dalam UI GreenMetric World University Rankings, terus diletakkan di tangga ke-45.

Bersesuaian dengan tagline Universiti Di Rimba Hijau, UUM terus komited memelihara sumber alam dan meningkatkan kualiti persekitaran kampus yang dikelilingi keindahan flora dan fauna.

Sebaik memasuki ke kampus itu, mercu tanda baharu UUM iaitu Anjung Tamu atau Welcome Centre yang bertemakan ‘kehijauan’ bagaikan menggamit pengunjung ke universiti pengurusan terkemuka itu.

Naib Canselornya, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, UUM kampus yang unik kerana lokasinya dibangunkan di atas bekas tapak lombong bijih timah dan dikelilingi pemandangan hutan serta bukit-bukau, selain kaya dengan khazanah bumi bernilai tinggi.

Menurutnya, universiti awam itu juga dibina di kawasan hutan asli dan dipenuhi pokok sintok dan gaharu serta pelbagai flora dan fauna berusia ratusan tahun dan jika diterokai secara berhemah, ia mampu menjadi punca pendapatan buat universiti itu.

Katanya, dunia sekarang sibuk bercakap mengenai teknologi hijau tetapi ramai tidak menyedari kampus UUM sendiri terletak dalam kawasan hutan hujan malar hijau, sekali gus menjadi ‘University in A Green Forest’.

“Dengan kelebihan ini, saya mahu semua warga kampus memanfaatkan alam semula jadi dimiliki dan membantu menaikkan nama UUM sebagai universiti dalam rimba hijau di luar negara.

“Kami gunakan kelebihan dan kekuatan UUM dengan menzahirkan rasa bangga kerana universiti ini dibina dalam kawasan dilengkapi landskap menarik dan semula jadi, malah boleh menggamit seramai mungkin pelawat untuk jatuh cinta dengan ‘Universiti di Rimba Hijau’ ini,” katanya.

Beliau berkata, selain memiliki Anjung Tamu yang menjadi platform dalam mempromosikan sektor pelancongan domestik dan antarabangsa, UUM juga membangunkan elemen pelancongan lain dalam kampus seperti kereta kuda, trem, taman rusa, burung unta dan kolam itik yang turut terdapat burung merak.

Menurutnya, bagi menambah dan mengekalkan keindahan flora dan faunanya, pihak universiti kini dalam proses membangunkan kawasan burung unta, membina trek atau laluan dalam hutan Sintok untuk kegunaan pelancong dan warga kampus bagi melihat sendiri keindahan yang terdapat di kawasan Hutan Simpan Sintok, khususnya.

Katanya, selain memiliki trem yang boleh membawa pelancong mengelilingi sekitar kampus, UUM bercadang membina stesen buggy yang akan menempatkan perkhidmatan kenderaan itu dan pembinaan restoran tasik.

Selain itu, buat julung kalinya, UUM disenaraikan pada kedudukan ke-45 dalam UI GreenMetric World University Ranking, satu-satunya ranking yang mengukur komitmen setiap universiti dalam membangunkan infrastruktur mesra alam persekitaran.

Dr Mohamed Mustafa berkata, pencapaian itu sangat membanggakan kerana penyertaan UUM buat pertama kali pada tahun lalu mendapat pengiktirafan dunia.

Menurutnya, dengan kedudukan ini, UUM kini berada di tangga kesembilan dalam Asia, ketujuh dalam Asia Tenggara dan kedua di Malaysia.

“Laman sesawang rimbahijau.uum.edu.my antara kriteria untuk disenaraikan dalam web IU GreenMetric selain dinilai berdasarkan enam kriteria ditetapkan iaitu infrastruktur (15%), tenaga dan perubahan cuaca (21%), sisa buangan (18%), air (10%), pengangkutan (18%) dan pendidikan (18%).

“Kita mampu memenuhi semua kriteria ini sehingga membolehkan universiti disenaraikan bersama 407 universiti lain dari seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata, warga UUM perlu terus berusaha mengekalkan kehijauan alam sekitar yang terdapat di universiti itu.

Menurutnya, dengan tersenarainya UUM dalam UI GreenMetric, secara tidak langsung mempromosikan UUM sebagai ‘University in a Green Forest’ sempena Discover UUM yang turut berlangsung pada tahun ini.

Katanya, pada tahun ini juga, UUM akan melancarkan Tahun Melawat UUM selari dengan hasrat kerajaan negeri yang mempromosikan Tahun Melawat Kedah 2016 dan menjadi sebahagian lokasi menarik yang harus dikunjungi kerana keindahan flora dan faunanya.

“Kita mahu UUM dikenali di pelosok dunia dengan keindahan flora dan fauna, selain pelbagai kemudahan disediakan di sini. Bukan sahaja untuk kegunaan warga kampus, malah pelancong yang ingin menikmati pelbagai keindahan dan keistimewaan di kampus yang permai ini selaras dengan konsep edutourism,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 1:13 PM