PENGUNJUNG berpeluang meneroka hutan hujan melalui denai yang disediakan.
PENGUNJUNG berpeluang meneroka hutan hujan melalui denai yang disediakan.
PENGUNJUNG boleh menikmati alam semula jadi dengan lebih dekat saat berjalan di Titian Silara.
PENGUNJUNG boleh menikmati alam semula jadi dengan lebih dekat saat berjalan di Titian Silara.
BAMBOO Walk antara laluan popular untuk sesi bergambar di Taman Eko Rimba KL.
BAMBOO Walk antara laluan popular untuk sesi bergambar di Taman Eko Rimba KL.
KEINDAHAN hutan tertua Malaysia yang boleh dinikmati di tengah ibu kota.
KEINDAHAN hutan tertua Malaysia yang boleh dinikmati di tengah ibu kota.
Suliati Asri


Berjalan sama tinggi dengan silara (rimbunan daun pada bahagian atas pokok) di atas laluan kanopi ala jambatan gantung sepanjang 200 meter dan ketinggian 18 meter di hutan tertua di Malaysia cukup mengujakan.

Lebih menarik, laluan kanopi diberi nama Titian Silara yang siap dibina pada September 2014 dan dibuka pada November lalu terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Sukar dipercayai, tetapi ia benar-benar wujud dan menawarkan pemandangan hutan dan keindahan alam semula jadi dari paras silara. Lebih menarik, pengunjung juga berpeluang menikmati pengalaman menyentuh daun pokok besar dan tinggi serta memerhatikan gelagat burung bermain di dahannya.

Ia juga Titian Silara mesra orang kurang upaya (OKU) pertama di negara ini terutama yang berkerusi roda.

Ingin merasai sendiri pengalaman meniti Titian Silara di kawasan hutan simpan dikelilingi bangunan konkrit ini? Taman Eko Rimba KL lokasinya.

Terletak di kawasan Hutan Simpan Bukit Nanas, Taman Eko Rimba KL antara lokasi paling popular di Kuala Lumpur yang menawarkan kedamaian dan kehijauan alam semula jadi.

Hutan Simpan Bukit Nanas antara Hutan Simpan Kekal (HSK) tertua di Malaysia yang diwartakan pada 1906.

Dulunya, hutan ini dikenali sebagai Bukit Weld manakala masyarakat tempatan pula mengenalinya sebagai Bukit Gombak.

Nama Bukit Nanas diambil kerana kawasan ini pernah ditanam nanas. Selain menjadi sumber makanan, tanaman nanas berkenaan turut menjadi kubu pertahanan ketika Perang Klang II sekitar 1867 hingga 1874.

Satu ketika dulu, lokasi ini terkenal dengan perkhidmatan kereta kabel yang beroperasi sekitar 1970-an hingga 1980-an.

Mengungkai di sebalik keindahan alam semula jadi Taman Eko Rimba KL, antara keunikan hutan simpan kekal ini ialah ia hutan Dipterokarpa pamah, satu-satunya hutan asli yang masih wujud bukan saja di pusat bandar raya Kuala Lumpur, malah di dunia.

Taman Eko Rimba KL juga satu-satunya destinasi ekopelancongan berkonsepkan hutan hujan tropika semula jadi di ibu kota.

Selain Titian Silara, Taman Eko Rimba KL turut menawarkan keindahan flora dan fauna tersendiri.

Hutan ini masih menyimpan khazanah sebanyak 8.4 peratus spesies pokok daripada 2,650 spesies pokok yang direkodkan di Malaysia, sejumlah 2.9 peratus spesies paku pakis berbanding 1,100 spesies Malaysia, 100 spesies tumbuhan ubatan, enam spesies buluh dan tujuh spesies palma.

Melengkapi kehidupan dan kitaran semula jadi hutan, terdapat 12 spesies mamalia menjadikan kawasan ini sebagai habitat, antaranya enam spesies kelawar, satu spesies musang, dua spesies primat dan tiga spesies tikus dan tupai.

Bagi pencinta burung, Taman Eko Rimba KL juga lokasi ideal untuk melihat pelbagai jenis unggas sekali gus menjimatkan belanja anda mengembara jauh bagi melihat hidupan itu.

Terdapat 25 spesies burung daripada 18 famili terdiri daripada spesies residen (bermastautin) dan dilindungi sepenuhnya Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Antara spesies burung yang pernah direkodkan termasuk dendang selayang (black-naped oriole), murai kampung (magpie Robin), merbah kapur (yellow-vanted bulbul), belatuk pinang muda (common goldenback), pekaka belukar (white-throated kingfisher), murai rimba (white-rumped shama), burung hantu reban (collared scops-owl), cecawi hamba kera (lesser racquet-tailed drongo), tiong gembala kerbau (common myna) dan perling mata merah (Philippine glossy starling).

Selain bersiar-siar, Taman Eko Rimba KL juga menyediakan pelbagai kemudahan dan tarikan yang membuatkan anda lebih selesa dan teruja saat menerokai kehijauan alam semula jadi di sini.

Antaranya, Pusat Maklumat Perhutanan yang menyediakan pelbagai maklumat mengenai hutan yang dilengkapi mini teater untuk tayangan video / taklimat.

Dataran Meranti, Dataran Batai dan Dataran Hijau antara kemudahan buat anda yang ingin melakukan pelbagai aktiviti.

Jambatan Gantung, Look out Point selain tarikan barunya Titian Silara menambahkan keterujaan saat berkunjung ke sini.

Bagi anda yang ingin meneroka hutan simpan ini, siar kaki, Denai Penarahan, Denai Merawan, Denai jelutung, Denai Suboh dan Bamboo antara laluan yang menawarkan pelbagai tarikan tersendiri.

Menariknya, kerusi dan pondok rehat turut disediakan bagi memudahkan pengunjung melepaskan lelah seketika selepas melakukan penjelajahan di hutan ini.

Aktiviti lain yang boleh dilakukan ialah merentas denai hutan, kem hutan (perkhemahan), memerhati burung, bersenam, hari keluarga, kajian dan lawatan sambil belajar.

Justeru, bagi yang ingin mendekatkan diri dengan alam semula jadi tanpa perlu keluar jauh dari bandar raya Kuala Lumpur, Taman Eko Rimba KL destinasi tepat buat anda.

Waktu Operasi

Masa: 8 pagi hingga 5 petang / tujuh hari seminggu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 11:18 AM