AKTIVITI menanam pokok ketapang di pesisir Pantai Rantau Panjang. FOTO Mohd Rafi Mamat
AKTIVITI menanam pokok ketapang di pesisir Pantai Rantau Panjang. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Bahagian Pembangunan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyasarkan untuk menanam lebih 2 juta pokok pelbagai spesies tahun ini di negeri ini berbanding 1.2 juta tahun lalu.

Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP, Datuk Samsu Anuar Nawi berkata, aktiviti menanam pokok dilakukan sepanjang tahun membabitkan semua daerah di Pahang.

Menurutnya, selain tanaman pesisir pantai projek utama yang diusahakan membabitkan tanaman kawasan hutan yang diceroboh, lokasi bekas lesen pembalakan, tapak matau atau tempat menyimpan balak dan petak pemuliharaan.

Katanya, setiap tahun pihaknya diadakan program menghijaukan kawasan pusat pelancongan termasuk sekolah menerusi aktiviti tanggungjawab sosial dengan kerjasama agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan pusat pengajian tinggi.

"Antara program berskala besar diadakan tahun lalu ialah aktiviti penanaman spesies balak di beberapa kawasan seperti di Hutan Simpan Chini, Pekan dan Hutan Simpan Berkelah, Maran.

"Usaha memulihkan bekas kawasan kebun sayur dan bunga haram di Hutan Simpan Sungai Ichat, Cameron Highlands turut dilakukan sebelum ini dan hasilnya kini amat membanggakan apabila pokok spesies Damar Minyak, Meranti Rampai Daun, Merawan Siput Jantan dan Geruk kini hidup subur," katanya dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata, tahun lalu JPNP turut terbabit dengan Ops Bertam membabitkan aktiviti menanam di kawasan ceroboh di sepanjang laluan di Lembah Bertam.

Samsu Anuar berkata, program menanam pokok diadakan setiap tahun yang dilakukan secara gotong-royong selain kontraktor dilantik.JPNP akan memantau semua projek bagi memastikan kejayaanya.

"Program penanaman pokok Ru, Ketapang, Bintangor Laut dan Kelapa turut dilakukan dipesisir pantai di daerah ini dan Rompin.Ia bertujuan mengurangkan hakisan selain sebagai peneduh.

"Aktiviti menanam dilakukan sepanjang tahun yang turut disertai pelbagai pihak, antara kawasan tanaman ialah di pesisir Pantai Sepat, Pantai Sungai Ular, Pantai Anak Air, Pantai Bernas dan Pantai Cempaka," katanya.

Sementara itu Penolong Pengarah Silvikultur (Zon Pahang Timur I), Nurfazliza Kamarulbahrin berkata,program menanam pokok terbaharu diadakan dipesisir Pantai Rantau Panjang, Rompin membabitkan sebanyak 2,500 pokok ru dan ketapang.

"Program diadakan secara gotong royong membabitkan penduduk setempat dan kakitangan JPNP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 12:08 PM